Syamsul Zaman Sukri
Syamsul Zaman Sukri
BERNAMA

Putrajaya: Seorang bekas mudir sebuah madrasah di Machang, Kelantan yang sedang menjalani hukuman penjara 13 bulan atas kesalahan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki di sebuah hotel, hari ini gagal untuk mengetepikan hukuman tersebut.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail, sebulat suara menolak permohonan Syamsul Zaman Sukri, 36, bagi mendapatkan kebenaran merayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 21 November 2023.

"Mahkamah mendapati tiada merit dalam permohonan pemohon (Syamsul Zaman). Oleh itu, permohonan kebenaran merayu ditolak," kata Hadhariah itu yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.

Bekas mudir itu menjalani hukuman penjara pada 21 November 2023 selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu memerintahkannya menjalani hukuman itu serta merta, setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 13 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret pada 9 Mac 2023.

Memandangkan kes itu berasal dari Mahkamah Majistret, Syamsul Zaman dikehendaki mendapatkan kebenaran terlebih dahulu sebelum meneruskan rayuannya di Mahkamah Rayuan, mengikut Seksyen 50(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Lelaki itu yang digelar 'Ustaz Budak', didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap seorang lelaki berusia 30 tahun, termasuk mencium pipi mangsa di sebuah hotel di Kota Bharu pada 1.15 pagi, 16 Dis 2020, mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun.

Sebelum ini Syamsul Zaman didakwa atas lebih 10 kes membabitkan jenayah seksual terhadap beberapa lelaki termasuk pelajarnya dan kes itu masih di peringkat perbicaraan.

Terdahulu, peguam Ahmad 'Adha 'Amir Yasser Amri yang mewakili Syamsul Zaman berhujah terdapat percanggahan keterangan berhubung masa kejadian dan pihak pendakwaan gagal membuktikan secara tepat masa berlakunya kejadian kelucahan melampau, seperti dalam pertuduhan.

"Ini kerana pengadu yang juga mangsa dalam laporan polisnya menyatakan pada 1.15 pagi, beliau baru tiba di perkarangan hotel miliknya bersama pemohon (Syamsul Zaman).

"Selain itu, terdapat keterangan saksi pendakwaan yang menyatakan bahawa pengadu tidak berada di dalam bilik hotel, pada masa seperti mana pertuduhan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noorhisham Mohd Jaafar berhujah walaupun terdapat percanggahan keterangan, namun Majistret mempertimbangkan keterangan itu dan mendapati percanggahan tersebut tidak bersifat material.

"Elemen yang penting di dalam kes ini ialah perlakukan seksual dan identiti pelaku. Pemohon mengaku berada di tempat kejadian, namun tindakannya menafikan perbuatan yang dilakukan merupakan penafian semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 5:48 PM