NG Shih Chiow (tengah) diiringi Pegawai SPRM untuk pendakwaan terhadap 12 tuduhan bersubahat dalam memalsukan invois dan pesanan pembelian RM13.8 juta. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
NG Shih Chiow (tengah) diiringi Pegawai SPRM untuk pendakwaan terhadap 12 tuduhan bersubahat dalam memalsukan invois dan pesanan pembelian RM13.8 juta. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Bekas pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 12 pertuduhan bersubahat dalam memalsukan invois dan pesanan pembelian berjumlah RM13.8 juta, sejak tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ng Shih Chiow, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan pertama hingga 10, lelaki itu didakwa bersubahat dengan pengurus syarikat, Cheng Choon Choon menerusi dua syarikat, untuk memalsukan 10 dokumen invois berjumlah RM8.77 juta antara 22 Mei 2020 sehingga 8 Ogos 2022.

Bagi pertuduhan 11 dan 12, tertuduh didakwa bersubahat dengan individu sama yang juga pengurus syarikat Omega Dynasty Sdn Bhd bagi memalsukan dua dokumen pesanan pembelian berjumlah RM5.05 juta pada 7 April dan 12 Mei tahun ini.

Semua kesalahan itu dilakukan di Wisma Revenue, No 12, Jalan Udang Harimau 2, Kepong Business Park, di sini dan didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika disabitkan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Allan Suman Pillai dan Mohd Shahrom Idris, manakala tertuduh diwakili peguam Amer Hamzah Arshad dan New Sin Yew.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menjelaskan, pasport anak guamnya kini dalam simpanan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Beliau turut memohon wang jaminan dijelaskan sehingga esok atas alasan anak guamnya menghadapi masalah dengan pihak bank kerana akaun dibekukan ketika siasatan.

Amer Hamzah berkata, isteri dan adik tertuduh hadir di mahkamah dan bersedia bertindak sebagai penjamin.

Rozina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, selain mengarahkan tertuduh melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM Putrajaya.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Julai ini untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Jun 2023 @ 12:37 PM