WANITA cekal yang berusaha membantu golongan suri rumah juga ibu tunggal yang mahu menjana pendapatan
WANITA cekal yang berusaha membantu golongan suri rumah juga ibu tunggal yang mahu menjana pendapatan
Siti Nadirah Hafidzin

Hasratnya murni, mahu menggunakan bakat yang dianugerahkan kepadanya dalam bidang urutan dan rawatan tradisional sebaik mungkin dalam membantu lebih ramai wanita terutamanya suri rumah serta ibu tunggal menjana pendapatan sendiri.

Selain bakat, berbekalkan pengalaman sendiri ketika bergelar ibu tunggal dan mengharungi susah payah dalam membesarkan dua cahaya mata membuatkan dia tidak mahu menoleh ke belakang lagi.

Wanita cekal ini memasang impian membantu lebih ramai wanita berdikari atau sekurang-kurangnya mempunyai kemahiran yang boleh diguna pakai bagi mendapatkan pendapatan bulanan.

Mungkin jika dilihat pada penampilannya kini, tiada siapa yang menyangka anak jati Negeri Sembilan ini pernah hidup susah hingga terpaksa bekerja hampir 24 jam sehari demi mencari sesuap nasi.

Sebut apa saja pekerjaan, semua pernah dilakukannya. Dia pernah memandu van sekolah, bekerja sebagai tukang masak dan mengurut tradisional berbekalkan ilmu yang dipelajari daripada keluarga.

Semuanya dilakukan dalam masa sehari demi memastikan wang belanja bulanan tidak putus terutama demi dua cahaya mata tersayang yang ketika itu masih kecil.

Namun itu semua kisah lalu yang menjadi penguat semangatnya. Kisah wanita cekal Ruzita Jamaludin, 43, dalam mengharungi suka duka kehidupan wajar dijadikan teladan dan inspirasi kepada semua tidak kira wanita mahupun lelaki, tua atau yang masih muda.

Berkongsi pengalaman hidupnya, Ruzita berkata, menyedari cabaran besar dalam mengharungi kehidupan era kini menjadikan dia sentiasa berpandangan jauh.

“Saya pernah melalui saat sukar demi meneruskan kehidupan. Disebabkan itu saya sentiasa mencari kelebihan diri untuk mengubah nasib sendiri terutama anak.

Saya tidak mahu anak mewarisi kesusahan.

“Saya tidak malu dan tidak jemu mengikuti pelbagai kelas dan kursus pemasaran serta perniagaan bagi menambah ilmu. Sejak itu saya mula sedar bidang kecantikan dan spa terutama spa bergerak mampu memberi pulangan yang baik,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian mula fokus menjalankan perkhidmatan spa juga spa bergerak bagi menjana pendapatan diri.

“Selepas merasai sendiri pulangan yang memberangsangkan membuatkan saya mula terfikir membantu wanita lain terutama ibu tunggal juga yang tidak bekerja supaya mereka boleh menjana pendapatan sendiri.

“Berbekalkan ilmu juga pengalaman, saya kemudian mula mencari anak murid dalam kalangan wanita yang ingin menjadikan bidang spa bergerak sebagai sumber pendapatan, “ujarnya.

Guru spa bergerak

Mesra dipanggil ‘mak’ dalam kalangan anak muridnya, Rozita kini gembira kerana dapat mendidik lebih 500 wanita yang mahu memberikan perkhidmatan spa bergerak. Selain belajar menjaga penampilan diri, mereka dapat menawarkan khidmat penjagaan kecantikan kepada wanita lain.

Ruzita berkata, selepas lebih lima tahun, tanpa disangka dia berjaya melahirkan sekumpulan kru spa bergerak Mawar Putih dalam jumlah yang agak ramai di seluruh Malaysia.

“Siapa sangka, ramai wanita yang mahu mempelajari ilmu ini, saya menawarkan kelas lengkap termasuk memberikan beg spa yang diisi produk juga kelas diajar secara peribadi.

“Dalam satu waktu kelas, saya hanya mengajar dua pelajar supaya mereka lebih mudah faham juga dapat memberikan fokus sepenuhnya,” katanya.

Menurut Ruzita, sistem pembelajaran juga dilakukan secara amali sepenuhnya dan setiap pelajar turut diberikan kelas asas solekan secara percuma bagi mengubah personaliti diri ke arah yang lebih menarik.

MENJALANKAN kelas spa dan spa bergerak.
MENJALANKAN kelas spa dan spa bergerak.

Atas pengalaman sendiri, dia mahukan setiap pelajarnya berjaya memperoleh ilmu dan teknik urutan badan, wajah dan pelbagai rawatan lain dengan baik.

“Ini adalah bidang perkhidmatan, disebabkan itu juruterapi perlu memberi keutamaan kepada pelanggan kerana kepuasan mereka sangat penting. Jangan sesekali sombong dan syok sendiri,” katanya.

Katanya, perkhidmatan terbaik yang diberikan pasti akan diingati dan pelanggan juga akan mengulangi rawatan dilakukan pada masa akan datang.

Raih pendapatan lumayan

Jelas Ruzita, lebih menarik perkhidmatan spa bergerak tidak memerlukan modal besar terutama untuk menyewa premis atau mengupah kakitangan.

“Saya gembira apabila ada pelajar memberitahu mereka berjaya meraih pendapatan bulanan antara RM10,000 hingga RM30,000. Mungkin tiada siapa menyangka wanita yang menjalankan khidmat spa bergerak mampu meraih pendapatan hingga puluhan ribu sebulan namun ia adalah realiti,” ujarnya.

Menurutnya, semuanya tidak mustahil sekiranya individu itu mempunyai kesungguhan dan semangat tidak kenal erti putus asa. Bagi memastikan bekas pelajarnya berada pada momentum yang tepat, dia sentiasa memantau perjalanan kerjaya mereka supaya dapat memberi nasihat sekiranya berlaku masalah kerana dia tahu bukan mudah untuk bertahan.

MAHU jadi pencetus inspirasi.
MAHU jadi pencetus inspirasi.

“Semua orang boleh menyertai kelas ini, syaratnya perlu ada keinginan untuk berjaya dengan usaha sendiri. Perlu ada minat, kesungguhan dan tidak mudah berputus asa.

“Golongan ibu tunggal dan suri rumah amat di alukan untuk menyertai kelas ini juga kepada golongan lepasan universiti dan kolej yang masih tidak berjaya mendapatkan pekerjaan kerana bidang ini juga mampu memberi pendapatan lumayan,” katanya.

Tambahnya, dia berharap usahanya membuahkan hasil demi membantu lebih ramai wanita berdikari dan ada persediaan sekiranya berlaku sesuatu musibah.

“Dugaan hidup sentiasa ada selagi kita bernyawa. Apa yang penting adalah terus berusaha. Selagi diberikan kesihatan, saya akan terus membantu wanita yang ingin mendapatkan ilmu dalam bidang ini asalkan mereka ada minat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 2:19 PM