Hafiz Por Jia Chuan, bersama isteri, Nur Shahida menyambut Tahun Baharu Cina di ketika ditemui KTCC Mall. FOTO GHAZALI KORI
Hafiz Por Jia Chuan, bersama isteri, Nur Shahida menyambut Tahun Baharu Cina di ketika ditemui KTCC Mall. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Menganut agama Islam bukan penghalang bagi saudara baharu meneruskan tradisi bersama keluarga tercinta dalam menyambut Tahun Baharu Cina.

Ini dibuktikan Hafiz Por Jia Chuan, 24, bersama isteri, Nur Shahida Fildzah, 25, serta dua anak mereka, Salwani Fakhirah Por, 3, dan Shakeela Felicia Por berusia empat bulan tidak pernah terlepas meraikan perayaan itu.

Menurut Jia Chuan, ikatan kekeluargaan tidak pernah putus walaupun dia membuat keputusan untuk memeluk agama Islam kira-kira tiga tahun lalu.

"Setiap kali Tahun Baharu Cina, saya akan pastikan pulang ke rumah ibu bapa di Kampung Gong Pak Damat, Kuala Nerus untuk meraikan perayaan itu sebelum ke kampung halaman ibu di Gua Musang, Kelantan.

"Tentunya, tradisi makan besar menjadi simbolik bagi kaum Tionghua ketika sambutan Tahun Baharu Cina dan setakat ini, setiap tahun saya masih meneruskan tradisi berkumpul bersama keluarga selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam," kata anak sulung daripada empat beradik itu.

Jia Chuan yang juga anggota bomba bantuan di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu berkata, pertemuan itu adalah acara tahunan keluarga biarpun dia kini sudah bergelar seorang muslim.

"Walaupun memeluk agama Islam, tetapi saya berbangsa Cina dan ukhwah bersama ahli keluarga masih terjalin seperti biasa. Sebagai anak sulung, saya mempunyai tanggungjawab terhadap ibu bapa dan tiga adik," katanya.

Menurutnya, dia bersama tiga adiknya diberi pendedahan sejak kecil apabila mengikuti Kelas Asas Fardu Ain (Kafa) atas dorongan bapa, Por Kim Sin, 67, dan ibu, Yeap Bee Fai, 50, bagi menambah ilmu pengetahuan.

Katanya, adiknya, Por Hui Ling, 17, berjaya meraih 8A dalam Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) pada 2018.

"Memang sudah terbiasa kerana ada pendedahan sebelum akhirnya saya memilih agama Islam dan tidak dinafikan ibu ayah terkejut apabila saya memaklumkan sudah memeluk Islam.

"Bagaimanapun, mereka merestui pilihan saya, malah ibu ada berpesan kepada saya untuk menjadi seorang Muslim yang mengamalkan segala ajaran Islam.

"Ibu bagi tahu sudah pilih Islam, jadi buat dan amal betul-betul semua ajaran serta tinggalkan larangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 2:15 PM