Ahmad Hasbi


Nilai: Memeluk Islam sejak hampir 20 tahun lalu tidak menghalang Muhammad Shafiq Lee Abdullah untuk terus menyambut kehadiran Tahun Baharu Cina bersama keluarga terutama ibunya.

Bagi Muhammad Shafiq Lee, 49, dengan cara itu, dia dapat menzahirkan kemuliaan agama Islam kepada keluarganya yang menekankan supaya menghormati ibu bapa.

Dia yang menemui hidayah pada 2003 dan berumahtangga dengan wanita Melayu pada 2017 berkata, masih terdapat salah faham apabila seseorang berbangsa Tionghua sepertinya akan 'menjadi' Melayu apabila memeluk Islam.

"Setiap tahun saya pulang ke kampung di Kuching, Sarawak untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Kami melakukan upacara yang selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak.

"Apa yang penting, saya dapat tunjukkan kepada ibu saya (Bong Kit Moi, 75) bahawa Islam tidak memutuskan hubungan kekeluargaan kami. Ia menjadi contoh baik kepada ahli keluarga dan rakan lain," katanya ketika ditemui.

Dia yang juga Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Negeri Sembilan berkata, selain mendekatkan diri dengan keluarga, dia juga mengambil kesempatan menerangkan agama Islam dengan lebih dekat dan berdakwah.

"Jika balik ke Sarawak untuk menyambut perayaan ini, isteri (Rosazlinda Omar, 47) akan memasak di dapurnya sendiri kerana di rumah ibu terdapat dua dapur yang salah satunya dikhaskan untuk masakan halal.

"Sekiranya pada malam makan besar, kami akan bungkus makanan di luar dan bawa balik. Namun, pada tahun ini agak istimewa apabila ibu saya terbang dari Kuching untuk meraikan Tahun Baharu Cina di sini.

"Kami sambut di rumah keluarga isteri di Lenggeng, di sini. Tahun ini saya mengadakan jamuan untuk keluarga terdekat sebelah isteri bersama ibu dan keluarga dari Kuching," katanya.

Shafiq yang kini mengusahakan restoran nasi ayam berkata, sejak memeluk Islam dan berkahwin dengan wanita Melayu, dia mula belajar untuk bersalam dengan mencium tangan dan memeluk ibunya kerana perkara itu agak janggal sebelum ini.

"Pada mulanya ibu saya agak susah untuk terima amalan itu seolah dia merasakan akan ada sesuatu yang bakal berlaku jika saya peluknya, namun lama-kelamaan ia merapatkan kami," katanya.

Sementara itu, Rosazlinda berkata, dia cuba untuk menerima serta belajar budaya keluarga suaminya itu malah ibu mentuanya sangat membantu.

"Kali pertama pulang ke Kuching selepas berkahwin, saya dapati ada dua dapur di rumah ibu mentua. Satu daripadanya dikhaskan untuk saya yang lengkap dengan semua peralatan memasak seperti pisau dan kuali.

"Setiap kali pulang terutama pada musim perayaan, saya akan memasak makanan Melayu seperti rendang, masak lemak dan asam pedas. Ibu mentua memang suka, malah dia memanggil rakannya untuk menjamu selera bersama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2024 @ 11:50 AM
SHAFIQ Lee Abdullah, 49, (tengah) tetap meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Kampung Rawa, Lenggeng. FOTO Azrul Edham
SHAFIQ Lee Abdullah, 49, (tengah) tetap meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarga di Kampung Rawa, Lenggeng. FOTO Azrul Edham