Jeneral (B) Prof. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bersama Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) yang diketuai oleh En. Chatchai Bangchaud (kiri), dan ketua delegasi Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang diketuai oleh Ustaz Anas Abdulrahman ketika sidang media Mesyuarat Proses Dialog Damai kali ke-7 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Jeneral (B) Prof. Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin (tengah) bersama Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) yang diketuai oleh En. Chatchai Bangchaud (kiri), dan ketua delegasi Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) yang diketuai oleh Ustaz Anas Abdulrahman ketika sidang media Mesyuarat Proses Dialog Damai kali ke-7 di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Proses rundingan damai antara Kerajaan Thailand dan kumpulan pejuang Selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) dilihat positif dalam usaha menamatkan pergolakan di wilayah itu.

Ia berdasarkan hasil mesyuarat Proses Dialog Damai kali ketujuh diadakan, di sini, hari ini, yang dipengerusikan oleh Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin selain disertai pemerhati antarabangsa.

Mesyuarat itu dihadiri Panel Dialog Damai Wilayah Sempadan Selatan Thailand (PEDP) diketuai Chatchai Bangchaud dan delegasi BRN diketuai Ustaz Anas Abdulrahman.

Mesyuarat berlangsung dalam suasana baik dengan kedua-dua pihak menunjukkan komitmen yang jitu untuk menyediakan Pelan Komprehensif Bersama ke arah Pendamaian (JCPP).

"Pelan itu akan membuka jalan kepada perjanjian damai yang berkekalan untuk penduduk di Wilayah Sempadan Selatan Thailand," katanya pada sidang media di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, PEDP dan BRN bersetuju secara prinsip mengenai JCPP yang akan diterima oleh kedua-dua pihak dalam masa terdekat.

"Sebelum JCPP dimuktamadkan, PEDP memaklumkan kesediaan untuk memulakan langkah-langkah yang perlu bagi mewujudkan persekitaran kondusif ke arah pendamaian.

"Ini termasuk menukar kaedah sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan di Selatan Thailand bagi tujuan berasaskan keselamatan kepada bentuk 'pentadbiran SJR' iaitu berlandaskan sistem mentadbir.

"Langkah itu boleh memastikan kestabilan kawasan berkenaan (Selatan Thailand) dan memberi ruang dari segi mental dan fizikal kepada semua pihak," katanya.

Katanya, langkah-langkah untuk memupuk persekitaran kondusif akan dibincangkan oleh Pasukan Teknikal kedua-dua pihak pada bulan ini dan Mac nanti.

"Mesyuarat itu juga mengesahkan bahawa proses dialog damai harus membabitkan pihak berkepentingan yang juga pemacu penting dalam membawa keamanan berkekalan ke Wilayah Sempadan Selatan Thailand.

"Malaysia mengekalkan pendirian serta komited sebagai fasilitator bagi Proses Dialog Damai Selatan Thailand," katanya.

Proses rundingan damai antara pihak Kerajaan Thailand dengan kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan Thailand, BRN bertujuan untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai dalam menamatkan konflik di wilayah selatan iaitu di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Ketua Fasilitator Kerajaan Malaysia bagi Proses Dialog Damai itu ialah bekas panglima angkatan tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Proses Dialog Damai Selatan Thailand di antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang kini memasuki tahun ke-10.

Pada 22 Februari 2023, PEDP dan BRN sepakat membentuk JCPP sebagai pelan hala tuju untuk 2023-2024 dalam mencari penyelesaian bagi menamatkan konflik bersenjata di selatan Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2024 @ 6:01 PM