FOTO fail menunjukkan pegawai membawa kertas undi di bandar selatan Narathiwat pada PRU Thailand, baru-baru ini. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan pegawai membawa kertas undi di bandar selatan Narathiwat pada PRU Thailand, baru-baru ini. FOTO AFP
Bangkok

Bangkok: Rundingan damai di selatan Thailand adalah agenda nasional dan ia akan diteruskan meskipun kerajaan bertukar demi memastikan keamanan dan menyelesaikan konflik yang berlanjutan selama dua dekad.

Ketua Panel Dialog Keamanan Wilayah Sempadan Selatan Thailand Jeneral Wanlop Rugsanaoh berkata, adalah penting untuk mengekalkan momentum rundingan damai ketika peralihan politik negara.

Beliau berkata, pasukannya sedang mempercepat penyelarasan dengan semua pihak berkaitan bagi menjamin proses rundingan berjalan tanpa gangguan sehingga kerajaan baharu ditubuhkan.

"Saya ingin meyakinkan anda bahawa walaupun kerajaan bertukar, rundingan damai akan terus menjadi agenda nasional dengan objektifnya memastikan keamanan di wilayah selatan," katanya.

Mengenai pelan komprehensif bersama ke arah keamanan (JCPP), iaitu pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian damai menjelang akhir 2024, Wanlop berkata, kedua-dua pihak mencapai persetujuan bagi membangunkan pelan hala tuju secara kolaboratif, komprehensif dan inklusif supaya memudahkan kemajuan terhadap dialog berkenaan.

Bagaimanapun, terdapat kemungkinan untuk memanjangkan tempoh masa kerana Barisan Revolusi Nasional (BRN), kumpulan bersenjata paling berpengaruh di selatan mengumumkan rundingan ditangguh sementara menunggu Pilihan Raya Umum 14 Mei dan pembentukan kerajaan baharu, katanya.

"Kami sedang berusaha ke arah mencapai matlamat perjanjian itu menjelang Disember tahun depan," katanya.

Berdasarkan garis masa yang dapat disaksikan semasa Pilihan Raya Umum 2019, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan sebelum kerajaan baharu dibentuk.

Rundingan damai hanya boleh disambung semula seawal September.

Pilihan Raya Umum 14 Mei menyaksikan gabungan pemerintah kalah dalam pilihan raya itu.

Gabungan diketuai Parti Move Forward yang memenangi pilihan raya memaklumkan ia akan mengutamakan keamanan di selatan Thailand.

Proses rundingan damai antara kerajaan Thailand dan BRN bertujuan bagi mencari penyelesaian demi menamatkan konflik yang memuncak pada Januari 1994 di wilayah selatan di Narathiwat, Yala, Pattani dan sebahagian Songkhla.

Malaysia adalah fasilitator bagi proses rundingan damai demi menamatkan konflik selama beberapa dekad yang memuncak pada Januari 2004.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 8:10 AM