BANGUNAN Bukit Aman. FOTO arkib NSTP
BANGUNAN Bukit Aman. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bersedia memberikan kerjasama sekiranya ada anggota dan pegawai di jabatan itu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sindiket perjudian dalam talian serta pengubahan wang haram.

Pengarah JSJK Datuk Zainuddin Yaacob berkata, pihaknya tidak akan sesekali melindungi jika ada anggota dan pegawai yang disyaki terbabit dengan sindiket itu.

"Kami akan berikan kerjasama sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang menjalankan siasatan terhadap mereka sekiranya disyaki terbabit.

"Mana-mana peringkat pun saya tidak akan berkompromi terhadap mereka jika disyaki terbabit dalam kes-kes yang disiasat oleh pihak-pihak tertentu. Saya juga tidak akan melindungi mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya bersedia membantu proses siasatan terhadap mereka yang disyaki berhubung kes terbabit sekiranya diperlukan "SPRM mempunyai peruntukan undang-undang dan kuasa untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana pegawai kami, tetapi kalau ada bantuan yang diperlukan untuk mereka peroleh maklumat dan memerlukan siasatan lanjut, kami akan bantu," katanya.

Selain SPRM, Zainuddin berkata JSJK menerusi Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) terbabit dalam menyiasat sindiket judi secara dalam talian dan pengubahan wang haram, yang didakwa membabitkan selebriti dan pegawai serta anggota polis.

Ahad lalu, Bernama melaporkan tujuh anggota dan pegawai polis yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes sindiket judi secara dalam talian serta pengubahan wang haram dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Sebaik dibebaskan, mereka ditahan semula Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada hari sama untuk membantu siasatan berikutan kes diklasifikasi sebagai jenayah bersindiket setelah disyaki menyalah guna kuasa melindungi sindiket serta menerima habuan.

Pada 8 Oktober, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki mendedahkan pihaknya mengesan ratusan syarikat 'dummy' yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket itu.

SPRM sebelum ini turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi yang dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Oktober 2020 @ 7:13 PM