KEADAAN trafik mula sesak pada jam 6.30 petang semalam susulan orang ramai mula pulang ke ibukota.
KEADAAN trafik mula sesak pada jam 6.30 petang semalam susulan orang ramai mula pulang ke ibukota.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: Lalu lintas di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak bergerak perlahan pada petang semalam susulan kira-kira 1.2 juta kenderaan pulang ke ibu kota setelah menghabiskan cuti panjang gabungan cuti perayaan Aidiladha, cuti sekolah dan Hari Malaysia.

Tinjauan Harian Metro di beberapa plaza tol di ibu negara mendapati ribuan kenderaan terutama kereta bernombor pendaftaran Wilayah Persekutuan dan Selangor membanjiri pintu masuk ke ibu negara selepas menghabiskan cuti selama seminggu.

Pergerakan kenderaan yang pada awalnya lancar pada sebelah pagi beransur perlahan di plaza tol utama termasuk Plaza Tol Sungai Besi, Plaza Tol Jalan Duta dan Plaza Tol Gombak, masing-masing menghala ke utara, selatan dan pantai timur.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, aliran trafik terkawal walaupun berlaku peningkatan kenderaan dan kemalangan kecil yang menjejaskan pergerakan.

“Bagi arah utara, trafik sesak dari Sungai Petani ke Bertam pada jam 3.40 petang akibat kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 112.4 arah selatan.

“Di selatan pula, kenderaan perlahan dari Simpang Empat ke Pedas/Linggi, Senawang ke Seremban manakala bagi timur dari Bentong ke Lentang dan Plaza Tol Gombak sejauh kira-kira dua kilometer,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:21 AM