TERTUDUH (depan, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas didakwa terbabit aktiviti haram. FOTO Nuraliawati Sabri
TERTUDUH (depan, kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, selepas didakwa terbabit aktiviti haram. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: Ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram membabitkan nilai berjumlah lebih RM962,000.

Tertuduh, Loo Mei Lin, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kesemua 19 pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan akaun semasa miliknya sebagai peralatan kesalahan berkaitan dengan pelakuan aktiviti haram.

Manakala, bagi pertuduhan kedua hingga ketujuh, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM962,845.21 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram melalui akaun semasa miliknya.

Manakala bagi 12 lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan wang berjumlah RM273, 225.84 hasil daripada aktiviti haram melalui cekuntuk pembayaran kad kredit dan premium polisi insurans.

Bagi perbuatan itu, tertuduh yang juga ibu tunggal tiga anak, didakwa melakukan kesalahan mengikut subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan juga boleh dikenakan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta mengikut nilai lebih tinggi.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah antara 29 Disember 2014 hingga 15 Jun 2015.

Prosiding pendakwaan dikenalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Zainal yang mencadangkan jumlah jaminan RM60,000 diberikan kepada tertuduh.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Michael Tan merayu agar jaminan rendah RM10,000 diberikan kepada anak guamnya.

Bagaimanapun, selepas mendengar hujah kedua- dua pihak mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM50,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu saksi serta mangsa.

Mahkamah, turut menetapkan 4 Jun hadapan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 3:11 PM