ASMALIZAN  menunjukkan rumahnya yang kerap diganggu kera liar.   
ASMALIZAN menunjukkan rumahnya yang kerap diganggu kera liar.   
KUMPULAN kera liar berkeliaran di Bandar Putera 2, Jalan Kebun Nenas.
KUMPULAN kera liar berkeliaran di Bandar Putera 2, Jalan Kebun Nenas.
Siti Khairunnisa Mohamad Nayan


Klang: Kehadiran sekumpulan kera liar menyebabkan penduduk di Bandar Putera 2, Jalan Kebun Nenas, di sini, terpaksa mengehadkan aktiviti di luar rumah berikutan risau diserang haiwan berkenaan.

Antara rungutan penduduk ketika tinjauan Harian Metro ialah kumpulan haiwan liar itu yang kerap menyelongkar tong sampah, menceroboh dapur rumah untuk mencari makanan selain meninggalkan anak kucing di atas bumbung dan dibiarkan hingga mati.

Penduduk, Asmalizan Ismail, 31, berkata, masalah itu bermula tahun lalu, namun semakin serius berikutan kumpulan kera liar itu semakin berani dan langsung tidak takut kepada manusia.

“Nak berkebun pun tak boleh, pokok yang baru ditanam belum sempat membesar habis dikerjakan kumpulan kera liar berkenaan.

“Kami akan menutup pintu dan tingkap dengan rapat meskipun berada di dalam rumah, risau haiwan itu akan menceroboh untuk mencuri makanan,” katanya.

Penduduk, Anisdiana Jani, 42, berkata, kumpulan kera liar itu kerap bertindak agresif dengan mengejar penduduk yang bersiar-siar menunggang motosikal.

Risau berlaku sebarang kejadian tidak diingini, Anisdiana kemudian mengadukan masalah itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Selangor.

“Saya mula hilang sabar selepas ada kera menceroboh ke dalam rumah, menyelongkar almari di dapur dan melarikan bekas plastik mengandungi makanan.

“Anak saya cuba halau kera berkenaan, namun haiwan itu melawan gelagatnya seperti mahu menyerang. Lebih menakutkan haiwan itu menunjukkan taringnya,” katanya.

Anisdiana berkata, urusan posmen menghantar surat ke penempatan itu juga kerap terganggu apabila petugas pos terbabit yang menunggang motosikal dikejar kumpulan kera liar.

Sementara itu Pengarah PERHILITAN Selangor, Abd Rahim Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan daripada penduduk di situ pada 21 Februari lalu.

“Susulan aduan, kami memasang perangkap tiga hari kemudian. Hasilnya 21 kera ditangkap manakala 11 lagi ditembak mati.

“Kami masih menjalankan pemantauan di kawasan itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 6:55 AM