GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Pexels
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Pexels
Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkaitan isu pesakit yang menerima rawatan melalui mesin ventilator seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini.

Pengarah HKL Datin Paduka Dr Rohana Johan berkata, ini kerana sebarang komplikasi rawatan perubatan yang menjejaskan pesakit akan disiasat melalui sistem pelaporan insiden.

Katanya, ia sebagaimana yang digariskan dalam panduan pengurusan Laporan Insiden Kementerian Kesihatan (KKM).

"HKL ingin memaklumkan bahawa kejadian yang dilaporkan dalam laporan media semalam berkaitan isu pesakit yang menerima rawatan melalui mesin ventilator sedang dalam siasatan pihak hospital.

"Pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi hospital sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit di pantau. Ia termasuk memastikan peralatan terbabit diselenggara mengikut jadual agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat diberikan kepada pesakit, " katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, pihaknya melancarkan siasatan terhadap laporan membabitkan seorang pesakit yang meninggal dunia dan seorang lagi diklasifikasikan mati otak di dua wad berasingan dekat sebuah hospital di Lembah Klang, didakwa berpunca kerosakan mesin ventilator.

Memetik laporan portal tempatan yang hanya memetik sumber semalam, dalam tempoh seminggu di dua wad berasingan di sebuah hospital dekat Lembah Klang, seorang pesakit meninggal dunia dan seorang lagi diisytihar mati otak didakwa kegagalan mesin ventilator.

Menurut sumber dalam laporan berita itu, petugas perubatan cuba melakukan pertolongan cemas ke atas pesakit yang tidak sedarkan diri itu dan mendapati mesin ventilator yang digunakan gagal berfungsi.

Sumber laporan sama turut mendakwa bahawa dua lagi kes ada kaitan dengan kegagalan mesin ventilator.

Dalam satu kejadian, sumber mendakwa seorang pesakit didakwa dapat diselamatkan selepas pasukan perubatan melakukan bantuan penafasan kecemasan (CPR), sementara ini keadaan seorang lagi pesakit belum dapat disahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 5:15 PM