Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Seramai 117 pelacur dan gadis pelayan (GRO) warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam serbuan ke atas lima premis membabitkan pusat pelacuran dan pusat hiburan KTV sekitar bandaraya ini dalam satu operasi malam tadi.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, berkata operasi bermula 11 malam tadi dijalankan ke atas dua premis pusat pelacuran serta tiga premis pusat hiburan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, serta Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Imigresen dari beberapa negeri.

Katanya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 52 wanita warganegara China, Vietnam (41 wanita), Thailand (21 wanita), Indonesia (2 wanita, 1 lelaki), Laos (1 wanita), Bangladesh (8 lelaki), Myanmar (4 lelaki) dan seorang lelaki tanpa taraf kewarganegaraan berusia antara 18 hingga 36 tahun.

Turut ditahan adalah 10 warga tempatan membabitkan tujuh lelaki dan tiga wanita berusia antara 35 hingga 44 tahun yang bertindak sebagai penjaga premis.

Menurutnya, semakan awal mendapati 58 daripada warga asing yang ditahan itu memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), dan Pas Penggajian yang masih sah, sementara selebihnya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan untuk berada di negara ini.

Beliau berkata, sindiket di dua premis pelacuran itu melakukan promosi wanita warga asing menggunakan gambar mereka melalui aplikasi media sosial Telegram dan WhatsApp dengan bayaran yang dikenakan ke atas pelanggan adalah sekitar RM200 hingga RM500, manakala bagi khidmat penghantaran pelacur ke luar premis itu atau 'outcall girl' bayaran dikenakan antara RM800 hingga RM1,000.

Sebahagian barangan yang dirampas. FOTO L. MANIMARAN
Sebahagian barangan yang dirampas. FOTO L. MANIMARAN

Jafri berkata, bagi modus operandi di tiga pusat hiburan itu pula adalah menyediakan perkhidmatan pelayan perempuan atau GRO warganegara asing dan hanya menyasarkan kepada pelanggan tetap sahaja secara tempahan melalui panggilan telefon.

Katanya, pelanggan dikenakan bayaran antara RM800 hingga RM10,000 mengikut kategori bilik yang ditempah manakala untuk tempahan wanita warganegara asing, bayaran RM150 bagi 1 jam akan dikenakan.

"Semasa serbuan dilakukan di tiga premis hiburan ini, wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pusat hiburan cuba lari dan bersembunyi di bilik rahsia

yang dibina khas bagi mengaburi pegawai penguatkuasa selain ada antara mereka bersembunyi di atas syiling dan bumbung bangunan pusat hiburan

"Sindiket ini sudah beroperasi selama setahun dan mengaut keuntungan sebanyak RM24,000 sebulan," katanya dalam sidang media hari ini.

Menurutnya, seramai 69 lelaki warganegara Malaysia, dua lelaki warganegara Bangladesh dan seorang wanita tempatan turut diberikan notis untuk hadir ke pejabat Imigresen Perak bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 1:46 PM