Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Isteri Tun Daim Zainudin mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaannya sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.

Isteri Daim, Toh Puan Naimah Khalid, mendakwa disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baiknya dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.

"Kini, sebuah kempen memutar belit maklumat dan persepsi dijalankan bagi memberi gambaran bahawa beliau seorang yang korup semata-mata kerana sangat kaya.

"la sesuatu yang tidak munasabah dan tidak masuk akal, malah tiada ahli perniagaan yang berjaya di negara ini akan terlepas daripada tuduhan sedemikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di pekarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

NAIMAH bersama dua anaknya, Muhammed Amin serta Muhammed Amir pada sidang media di ibu pejabat SPRM Putrajaya pagi tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah
NAIMAH bersama dua anaknya, Muhammed Amin serta Muhammed Amir pada sidang media di ibu pejabat SPRM Putrajaya pagi tadi. FOTO Mohd Fadli Hamzah

Daim yang juga bekas Menteri Kewangan sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.

Siasatan itu kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.

Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar 'Tan Sri' dan ahli keluarga mereka.

Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 11:00 AM