LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Hamzah Nordin


Cameron Highlands: Jabatan Bomba dan Penyelamat mula menggerakkan bantuan Pasukan Khas STORM ke tempat kejadian tanah runtuh yang membabitkan lima mangsa di Batu 54, Blue Valley Cameron Highlands.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang, Datuk Ir Ts Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, turut digerakkan bantuan Pasukan Khas dari Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Unit Pengesan K9 termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Sembilan anggota bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa berjalan kaki ke kawasan tanah runtuh itu sejauh tiga kilometer .

"Pemeriksaan di kawasan berhampiran tanah runtuh anggota bomba menjumpai mayat seorang lelaki dewasa ditemui jam 6.27 pagi ini," katanya.

Katanya terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita yang masih tertimbus, manakala seorang lelaki dewasa ditemui meninggal dunia.

"Sehingga kini operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan," katanya.

Katanya, sebelum kejadian tanah runtuh di Blue Valley, BBP Cameron Highlands turut menerima satu kes tanah runtuh yang berlaku di Ulu Sungai Palas, Cameron Highlands.

"Kejadian berlaku berhampiran satu blok empat pintu rumah pada jam 9.33 malam, semalam.

"Kejadian tidak membabitkan kemusnahan harta benda dan kemalangan jiwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 11:03 AM