Nurul Hidayah Bahaudin

Beranang: Seramai 24 penagih termasuk dua wanita ditahan dalam operasi bersepadu di sebuah tapak perkuburan di Jalan Broga, di sini, hari ini, yang dijadikan sebagai sarang penagihan dadah sejak 2015.

Operasi bersepadu itu membabitkan 16 anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Langat dan 18 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Operasi bermula jam 5 pagi itu berjaya menahan seramai 22 lelaki serta dua wanita tempatan berusia antara 25 hingga 60 tahun.

Semasa serbuan dilakukan, semua penagih cuba melarikan diri dengan memasuki kawasan belukar berhampiran berjaya digagalkan oleh anggota penguat kuasa yang mengepung kawasan terbabit.

Difahamkan sarang penagihan dadah itu wujud sejak 2015 dengan pihak AADK kerap melakukan serbuan iaitu anggaran dua hingga empat kali setahun.

Semua penagih yang ditahan itu dibawa ke Pejabat AADK Hulu Langat untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan 1983 (pindaan 1998).

Turut dibawa ke pejabat berkenaan kira-kira 20 motosikal yang dinaiki penagih untuk proses semakan.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Penguat Kuasa MPKj berkata, operasi bersepadu berkenaan diadakan bagi mengekang aktiviti vandalisme dan tidak bermoral.

"Berdasarkan undang-undang, pihak terbabit boleh dikenakan denda RM2,000 di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Vandalisme 2005 (MPKj).

"Operasi ini akan dilakukan secara berkala dalam usaha mengekang aktiviti vandalisme dan tidak bermoral terutama di kawasan sekitar daerah Hulu Langat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 4:08 PM
SEBAHAGIAN penagih yang berjaya di tangkap di sebuah tapak perkuburan di Jalan Broga. FOTO Fathil Asri
SEBAHAGIAN penagih yang berjaya di tangkap di sebuah tapak perkuburan di Jalan Broga. FOTO Fathil Asri