MARKAS penagih dadah di belakang sebuah stor kediaman diserbu pegawai AADK. Gambar kecil, jarum suntikan yang ditemui.
MARKAS penagih dadah di belakang sebuah stor kediaman diserbu pegawai AADK. Gambar kecil, jarum suntikan yang ditemui.
Mohd Fadly Samsudin


Kajang: Lambakan jarum suntikan sudah digunakan dan ada kesan darah ditemui berselerakan di atas tanah berhampiran stor sebuah rumah di Hulu Langat.

Itu antara penemuan sepasukan pegawai penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Hulu Langat, yang melakukan operasi khas di Kampung Sungai Machang, Jalan Sungai Lalang, Semenyih, kelmarin.

Risikan mendapati lokasi itu kerap menjadi markas terbuka kumpulan penagih dadah ‘bermesyuarat’ dan menagih dadah beramai-ramai.

Lebih mengejutkan, aktiviti penagihan dadah itu seakan ‘direstui’ apabila lokasinya berada di tengah-tengah kediaman keluarga salah seorang individu ditahan dalam operasi berkenaan.

Ketua Pegawai AADK Hulu Langat Muhamad Ramlan Syed Ahmed berkata, dalam operasi jam 10 pagi itu, tiga individu termasuk wanita ditahan selepas didapati memiliki morfin.

Menurutnya, pihaknya menjalankan operasi berkenaan susulan aduan orang awam memaklumkan kawasan itu sering menjadi tumpuan penagih yang datang dari Kajang serta penduduk setempat.

“Kami dimaklumkan, kawasan itu sering dikunjungi penagih antara jam 9 hingga 11 pagi manakala pada waktu petang antara jam 4 hingga 6 petang,” katanya.

Beliau berkata, ketika aktiviti penagihan dijalankan, tidak kurang tujuh hingga 10 individu berkumpul di belakang stor berkenaan.

“Semua mereka yang ditahan berusia berusia antara 30 hingga 50 tahun.

“Ketika mahu membawa semua suspek, ibu salah seorang daripada mereka merayu supaya anaknya dilepaskan dengan memberi alasan isteri lelaki itu masih dalam tempoh pantang bersalin,” katanya.

Bagaimanapun, selepas berunding, ibu serta ahli keluarga lelaki terbabit akhirnya akur dan membenarkan anaknya ditahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 4:02 AM