Kogilavani menunjukkan laporan polis berkaitan kelalaian doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) gagal menawarkan rawatan sesuai hingga memburukkan keadaan suami. FOTO Mary Victoria Dass
Kogilavani menunjukkan laporan polis berkaitan kelalaian doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA) gagal menawarkan rawatan sesuai hingga memburukkan keadaan suami. FOTO Mary Victoria Dass
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: "Kegagalan pegawai perubatan menawarkan rawatan bersesuaian mengakibatkan jangkitan kuman dialami suami semakin serius hingga berdepan risiko dipotong kaki," ujar peniaga, S Kogilavani, 40.

Dia berkata, suaminya, K Murugan, 50, yang juga Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Nesa hanya dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Aminah (HSA) selama kira-kira sembilan jam sebelum dibenarkan pulang selain diberikan tarikh temu janji pada 28 Disember 2023.

"Kami bukan sesuka hati ke hospital, pada awalnya kami ke Klinik Kesihatan Skudai namun doktor enggan memberikan sebarang rawatan kerana keadaan suami agak membimbangkan dan mengarahkan segera dibawa ke hospital.

"Ketika mendapat rawatan di zon hijau di HSA, suami yang juga pesakit diabetes menjalani imbasan X-Ray sebanyak dua kali termasuk di kaki dan dada. Seorang doktor ortopedik menyatakan suami mengalami jangkitan kuman dan perlu menjalani pembedahan untuk mengeluarkan nanah.

"Bagaimanapun selepas dimasukkan ke wad, doktor pakar ortopedik membenarkan suami dibawa pulang dengan membekalkan beberapa ubat termasuk ubat tahan sakit dengan alasan keadaan suami stabil," katanya.

Kogilavani berkata, pada 24 Disember 2023, dia terpaksa membawa suaminya ke klinik swasta selepas keadaan suaminya bertambah buruk termasuk nyaris rebah di kediamannya di Taman Nesa, Skudai.

"Doktor di klinik menyatakan suami mengalami jangkitan kuman yang serius dan ia boleh membahayakan nyawanya sekiranya dibiarkan tanpa rawatan.

"Malah tidak mustahil suami kehilangan kakinya kerana luka di kakinya semakin membesar dan bernanah.

"Doktor di klinik menjalankan pembedahan kecil bagi membuang nanah serta suami juga perlu menjalani pembersihan luka setiap hari sehingga kini," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Skudai di sini semalam.

Kogilavani berkata, pihaknya kecewa dengan kelalaian yang berlaku dan membuat aduan di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).

"Pada 17 Januari lalu, kami diminta hadir ke sesi perbincangan di HSA namun kami tidak diberi maklum balas sewajarnya seolah-olah kejadian menimpa suami dipandang remeh.

" Apa yang berlaku kepada kami boleh berulang kepada individu lain, saya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan negeri memandang serius perkara ini," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah HSA, Dr Sal Atan berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan dalaman dan sudah mengadakan pertemuan dengan pengadu pada 17 Januari lalu.

"Atas persetujuan pengadu, kes akan dimajukan ke Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi penubuhan jawatankuasa penyiasatan bebas menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Johor," katanya menerusi kenyataan media.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan menerima laporan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 January 2024 @ 11:10 AM