TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan pesakit ketika melakukan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersalaman dengan pesakit ketika melakukan lawatan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mohd Sabran Md Sani


TUNKU Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada tiga hospital di Johor dalam majlis ringkas sempena lawatan di Klinik Pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, hari ini.

Sumbangan berkenaan disampaikan sendiri Tunku Ismail kepada HSA Johor Bahru, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan Hospital Kota Tinggi.

Majlis pengurniaan sumbangan cek peribadi tanpa dinyatakan nilai itu disampaikan kepada Timbalan Pengarah Perubatan HSA, Dr Khadijah Abu Bakar; Pengarah Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai, Dr S Sharath Chandran dan Pengarah Hospital Kota Tinggi, Dr Khursiah Daud.

Hadir sama menyaksikan majlis pengurniaan sumbangan itu, Pengarah Kesihatan Johor, Dr Selahuddein Abd Aziz.

Tunku Ismail memulakan lawatan hampir setengah jam bagi meninjau kemudahan Klinik Pakar dan keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.

Antara lokasi kunjungan itu membabitkan Klinik Kardiologi, Bilik Ujian Echocardiography, Bahagian Farmasi Klinik Pakar, Jabatan Fisioterapi (Pemulihan Anggota) dan Klinik Ortopedik.

Sempena lawatan itu, Tunku Ismail mendapatkan penerangan mengenai perjalanan klinik pakar, selain mengambil peluang bermesra dan bergambar dengan pesakit serta orang ramai.

Sementara itu Dr Selahuddein berkata, lawatan berkenaan bukan pertama kali sebaliknya dilakukan secara berterusan.

“TMJ sebenarnya sangat prihatin terhadap kesihatan diberikan kepada rakyat di Johor dan sering datang ke hospital ini untuk mengetahui kemudahan dan layanan terhadap pesakit.

“Perkara ini bukan perkara baru, malah semua keluarga Diraja Johor termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar prihatin ketika kebakaran HSA sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, Tunku Ismail sentiasa ingin mengetahui masalah dihadapi di HSA terutama dari aspek kesesakan pesakit di wad.

“Hari ini, TMJ memberikan sumbangan peribadi kepada tiga hospital yang akan digunakan untuk membeli peralatan kepada pesakit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 2:49 PM