Ebiziem Afeanyi Stephen dikehendaki polis. FOTO ihsan polis
Ebiziem Afeanyi Stephen dikehendaki polis. FOTO ihsan polis
Mohd Hasbi Sidek


IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sedang memburu seorang lelaki warga Nigeria dikenali sebagai Ebiziem Afeanyi Stephen, 31, bagi membantu siasatan kematian kanak-kanak lelaki berusia lima tahun akibat didera 22 Jun lalu.

Mohd Adam Osi meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum neneknya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Roslan Khalid berkata, suspek utama iaitu ibu mangsa yang berusia 28 tahun ditahan di Bayan Baru, Pulau Pinang 23 Jun lalu.

"Bagaimanapun, polis masih memburu warga Nigeria iaitu teman lelaki kepada ibu mangsa.

"Kami percaya lelaki berkenaan dapat membantu siasatan kes ini," katanya.

Harian Metro 24 Jun lalu melaporkan kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai didera ibu dan bapa kandungnya.

Difahamkan, mangsa dihantar ke HKL pada 20 Jun lalu oleh seorang wanita tempatan dan lelaki warga Nigeria dipercayai ibu dan bapa kandung mangsa.

Roslan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkannya ke IPD Brickfields di talian 03-90516222.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Jun 2017 @ 4:41 PM