Usha Nantiny mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Usha Nantiny mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 di Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO OMAR AHMAD
Omar Ahmad


Johor Bahru: Seorang anggota polis wanita berpangkat Sarjan didakwa atas pertuduhan menerima rasuah RM20,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang wanita yang terbabit kes pecah amanah dua tahun lalu.

Tertuduh, S Usha Nantiny, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman di di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa meminta suapan RM20,000 daripada seorang lelaki bagi melepaskan isterinya, dalam kes pecah amanah sebagai dorongan untuk tidak menahan wanita berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, IPD Segamat, jam 4.50 petang, 28 Ogos 2022.

Pertuduhan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Zander Lim Wai Keong manakala tertuduh diwakili peguam, S Selvantheran.

Pendakwaan memohon jaminan RM15,000 namun Selvantheran dalam hujahnya memberitahu, tertuduh hanya mampu membayar jaminan RM8,000.

"Ia di luar kemampuan tertuduh, wanita itu masih berkhidmat di IPD Segamat dan mempunyai tanggungan dua anak berusia lima dan enam tahun serta ibu bapa mentua," hujahnya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, selain perlu menyerahkan pasport serta melaporkan diri ke pejabat SPRM Segamat setiap bulan.

Tarikh 24 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:06 PM