POLIS wanita, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 30, (kiri) dijatuhi hukuman penjara dua hari serta denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
POLIS wanita, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 30, (kiri) dijatuhi hukuman penjara dua hari serta denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen, Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


ANGGOTA polis wanita dijatuhi hukuman penjara dua hari serta denda RM20,000 di Mahkamah Sesyen, Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang lelaki, empat tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Sarjan Afifah Zainal Abidin, 30, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Narkotik di Bahagian Siasatan Jabatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar hanya perlu menghabiskan hukumannya itu dalam masa 24 jam sahaja di Penjara Pokok Sena selepas Hakim Azman Abu Hassan menetapkan hukuman berkenaan berjalan serentak bermula hari ini.

Tertuduh bagaimanapun masih boleh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan kepadanya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta suapan berjumlah RM2,000 melalui panggilan telefon daripada Ahmad Termizi Mohd Izham yang ketika itu berada dalam Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daerah Kota Setar pada 11.40 pagi, 13 Disember 2015.

Bagi pertuduhan kedua pula, Afifah didakwa menerima wang suapan berjumlah RM2,000 daripada Ahmad Termizi di Restoran Zeefee, Jalan Pegawai, Alor Setar pada 12.10 tengah hari, 15 Disember 2015.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sebagai dorongan bagi menangguhkan proses pertuduhan Ahmad Termizi di mahkamah berhubung kesalahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Dalam prosiding berkenaan, mahkamah berpendapat bahawa pihak pembelaan tidak dapat membuktikan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan setelah meneliti hujah kedua-dua pihak.

Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya SPRM Negeri Kedah, Syahrul Khuzaini Amiruddin.

Tertuduh bagaimanapun membayar denda berkenaan selepas prosiding kes tamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 5:39 PM