GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuching: Kerani wanita di Miri, bahagian utara Sarawak mengalami kerugian berjumlah RM60,000 akibat kes penipuan tawaran kerja sambilan dari aplikasi membeli-belah dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan laporan pada Jumaat lalu, mangsa berusia 40-an mendakwa diarahkan untuk membuat urusan jual beli barangan tidak wujud melalui aplikasi itu selain dijanjikan komisen yang lumayan.

Katanya, sebaik selesai melakukan urusan jual beli dalam talian, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta cuba untuk membuat pengeluaran komisen yang diperolehnya sebanyak RM5,000, namun gagal.

"Usaha untuk mengeluarkan hasil komisen tersebut gagal, kononnya mangsa tidak mengikuti arahan 'Customer Service'.

"Setelah itu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi ke akaun pihak ketiga bagi membolehkan komisen itu dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Alexson berkata, selepas membuat 11 transaksi ke akaun pihak ketiga, mangsa menyedari dirinya ditipu kerana komisen yang dijanjikan masih gagal diperoleh.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2024 @ 4:59 PM