Gambar hiasan
Gambar hiasan
Melvin Joni

Miri: Seorang eksekutif jualan di sebuah syarikat swasta di sini, mengalami kerugian sebanyak RM83,000 selepas wang pelaburannya lesap selepas ditipu sindiket pelaburan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi Tantan sebelum mereka berhubung melalui WhatsApp.

Menurutnya, suspek kemudiannya menerangkan mengenai pelaburan PUC Finance yang menyebabkan mangsa tertarik.

"Mangsa memasukkan wang modal pelaburan ke dalam enam akaun berbeza sejak 5 sehingga 14 Oktober lalu.

"Bagi tiga kali transaksi pertama, mangsa ada menerima pulangan pelaburan namun bagi transaksi yang keempat sehingga kelapan, mangsa tidak menerima sebarang pulangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata, mangsa hanya menyedari dirinya diperdaya selepas suspek sering kali meminta membuat pembayaran modal tetapi mangsa tidak dapat mengeluarkan keuntungan daripada pelaburan berkenaan.

Susulan itu, menurutnya, mangsa tampil membuat laporan polis pada semalam untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2023 @ 4:10 PM