EBIT Lew
EBIT Lew
BERNAMA

Tenom: Seorang saksi dalam perbicaraan kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew, memberitahu Mahkamah Majistret di sini, beliau tiada menerima arahan untuk tidak mengakses data dalam pemacu kilat diberikan syarikat LGMS Berhad (LGMS).

Juruanalisis Unit Siasatan Jenayah Komputer Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Yip Chang Ching, 43, berkata sedemikian ketika pemeriksaan semula Peguam Ram Singh hari ini berkenaan pemacu kilat mengandungi data telefon bimbit Lew diberikan LGMS kepada PDRM.

Saksi pendakwaan kelapan itu juga tidak bersetuju kepada soalan Ram Singh yang mewakili Ebit Lew bahawa saksi telah melampaui had untuk melihat data berkenaan

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan, antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani akan disambung dari 13 hingga 15 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 January 2024 @ 4:44 PM