PENGURUSAN Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). FOTO arkib NSTP
PENGURUSAN Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp). FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengurusan pelupusan sisa pepejal di tapak pelupusan dan loji insinerator di bawah seliaan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) didapati kurang cekap dan kurang berkesan menyebabkan risiko pencemaran kepada alam sekitar.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 memaklumkan ia membabitkan ketidakpatuhan terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi pengoperasian tapak pelupusan dan Loji Rawatan Leachate (LTP).

"Penilaian ujian air larut resapan dan pelepasan gas serta bendasing didapati tidak mematuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar dan berisiko menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

"Selain itu, loji insinerator yang masih belum beroperasi menyebabkan objektif pelupusan sisa pepejal iaitu pemilihan teknologi yang terbukti, mampu bayar dan mesra alam serta yang menjamin alam sekitar terpelihara masih belum dicapai sepenuhnya," menurut laporan itu yang dikeluarkan hari ini.

Dapatan itu diperoleh hasil pengauditan yang dilakukan terhadap 27 tapak pelupusan termasuk tiga tapak pelupusan yang tutup operasi pada 2018 dan 2019 serta empat loji insinerator di bawah seliaan JPSPN dan SWCorp.

Selain itu, antara kelemahan lain yang dikesan termasuk dalam soal pentadbiran kontrak, pengurusan lesen syarikat pengendali dan penyenggaraan fasiliti di tapak pelupusan dan loji incinerator.

Justeru, bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan berulang pada masa hadapan dan aktiviti pelupusan pihak Audit mengesyorkan JPSPN menambah baik klausa berkaitan tempoh masa kerja disiapkan dan penalti tidak siap kerja dalam Kontrak Perkhidmatan Pengoperasian dan Penyelenggaraan Loji Insinerator supaya menjamin kepentingan kerajaan.

Selain itu, jabatan itu juga perlu menyediakan satu pelan tindakan khas untuk menyelesaikan isu tiga loji insinerator yang masih belum beroperasi iaitu di Loji Insinerator Cameron Highlands, Pulau Langkawi dan Pulau Pangkor.

Tindakan ini bagi menjamin kerajaan mendapat manfaat sepatutnya daripada penggunaan teknologi loji insinerator sebagai kaedah pelupusan sisa pepejal.

LKAN turut mengesyorkan JPSPN perlu melaksanakan pemantauan yang berterusan terhadap pembayaran lesen oleh syarikat pengendali dan mengambil tindakan segera membatalkan lesen sekiranya bayaran lesen tidak dibuat dalam tempoh yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 2:01 PM