GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang buruh ladang warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas dakwaan membunuh majikannya di sebuah ladang kelapa sawit di Paya Rumput Jaya, di sini, bulan lalu.

Prosiding kes itu didengar Majistret Khairunnisak Hassni manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar.

Sebaik dibacakan dan diterangkan pertuduhan oleh jurubahasa Indonesia, tertuduh, Rudiansyah, 25, mengangguk dan mengaku faham.

Namun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada lelaki itu yang tidak diwakili peguam berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menyebabkan kematian terhadap Nordin Ong Abdullah, 71, di rumah kebun, ladang sawit, Lorong Sidang Hj. Hamid, Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, di sini.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 22 hingga 27 Disember 2023, kira-kira 10.30 pagi hingga 1.20 pagi.

Majistret kemudian menetapkan tarikh bagi sebutan semula, pengurusan kes, penyerahan laporan kimia dan bedah siasat pada 19 Februari depan.

Pada 1 Januari lalu, Harian Metro melaporkan tidak tahan sering dimarahi kerana gagal menyiapkan kerja punca buruh warga Indonesia bertindak kejam memukul majikannya dengan tukul hingga mati.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 12:10 PM