MEGAT meninjau keadaan kebun labu air. Gambar kecil, hasil labu air yang diusahakan. - FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
MEGAT meninjau keadaan kebun labu air. Gambar kecil, hasil labu air yang diusahakan. - FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI.
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Kuala Kangsar: Dahulunya anak muda ini tidak pernah berminat dalam bidang pertanian walaupun dibesarkan dalam suasana kampung.

Namun selepas berasa puas berkelana mencari rezeki sebagai jurudawai elektrik di Bangi selama empat tahun, Megat Hairul Anuar Megat Ariffin, 39, akhirnya memilih meneroka bidang pertanian kerana memahami isu keterjaminan makanan tidak boleh dipandang remeh berikutan ia menjadi keperluan hakiki manusia.

Berbekalkan bantuan rakan petani dan bimbingan Jabatan Pertanian sejak 2018, beliau mengambil langkah menyewa tanah di kawasan bukit dekat Kampung Semat, di sini menjadi sebuah kebun perusahaan labu air dengan berbekal modal RM2,000.

"Saya sebenarnya tak menyangka dengan memyewa tanah berkeluasan hanya setengah ekar sahaja, saya dapat tuai hasil mencecah empat tan labu air setiap musim dengan nilai jualan RM8,000.

"Tak perlu menunggu lama kerana labu air ini mengambil masa 40 hari sahaja dari semai hingga hasilnya cukup matang untuk dipetik dan sedia dijual kepada pemborong di Pasar Awam Menglembu, Ipoh dan Pasar Awam Ayer Tawar, Manjung," katanya.

Berkongsi aspek penjagaan tanaman sayuran itu, Megat Hairul Anuar berkata, labu air antara jenis tanaman yang mudah dijaga kerana mempunyai ketahanan yang agak kuat berbanding tanaman lain.

Menurutnya, ia hanya memerlukan air yang cukup sahaja untuk mengelakkan serangan penyakit yang akan menjadikan daun menjadi kuning.

"Selain itu, saya turut membuat jadual khusus untuk semburan racun iaitu seminggu dua kali sebagai langkah pencegahan mengelakkan serangan penyakit atau kulat.

"Bagi mengelakkan ia berjangkit kepada pokok lain, saya akan potong dan buang daun yang bermasalah untuk memulihkan kembali pokok," katanya memaklumkan bercadang mengembangkan lagi perusahaan itu dengan menambah sewaan lot tanah.

Beliau juga memaklumkan sedang mengusahakan tanaman cili fertigasi jenis Sakata 461 di tanah 0.6 hektar (1.5 ekar) berdekatan kediamannya di Kampung Piol, Manong.

"Terima kasih kepada Jabatan Pertanian kerana bukan sahaja menyediakan kursus pertanian, malah membantu menyediakan bantuan baja dan sistem perpaipan untuk kebun cili saya.

"Kerja-kerja meracun pula saya bersama rakan-rakan pekebun cili fertigasi di Manong manfaatkan robot hasil geran RM12,000 Jabatan Pertanian sebagai langkah penerapan 'smart farming' menggunakan Internet Pelbagai Benda (IoT).

"Teknologi ini memudahkan kerana kami boleh hidupkan ia menggunakan aplikasi di telefon pintar dan mengawal isipadu racun dengan tepat dari jarak jauh, tanpa perlu ke kebun," katanya.

Beliau berkata, bantuan yang dihulurkan agensi terbabit menunjukkan komitmen kerajaan negeri bagi menjayakan flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) melalui pelan Perak Sejahtera 2030 cetusan ilham Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 January 2024 @ 7:01 AM