POLIS mengiringi tertuduh ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi tuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen. FOTO Hairul Anuar Rahim.
POLIS mengiringi tertuduh ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi tuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen. FOTO Hairul Anuar Rahim.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pengarah syarikat agensi pelancongan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada tanpa lesen pengelola jemaah haji yang sah daripada Lembaga Tabung Haji, Mei lalu.

Agus Rizal Mat Ali, 50, pengarah syarikat UC Travel Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengiklankan perkhidmatan pakej haji furada bagi musim 2022M/1443H dengan memuat naik di media sosial Facebook milik syarikat itu, bahawa dia boleh menjalankan atau membuat transaksi perniagaan sebagai pengelola perjalanan haji ke tanah suci.

Perbuatan itu bagi tujuan menunaikan haji sedangkan syarikat tersebut tidak mempunyai lesen pengelola jemaah haji secara sah daripada Lembaga Tabung Haji.

Agus Rizal didakwa melakukan perbuatan itu di pejabatnya di Platinum Walk, Jalan Langkawi 2, Danau Kota di sini pada 9 Mei lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 27 (1) (b) Akta Tabung Haji 1995 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 27 (2) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Ishak dan Hanis Anisha Jamilludin manakala peguam Datuk Dhanaraj Vasudevan dan Ho Cheng En mewakili tertuduh.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pada 2 Ogos lalu, media melaporkan, sebanyak 132 laporan polis berhubung kes penipuan pakej menunaikan ibadah haji dan umrah menggunakan visa furada direkodkan setakat 31 Julai lalu membabitkan kerugian lebih RM5.6 juta.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilaporkan dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 8:57 PM