FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
BERNAMA

Ipoh: Seorang kanak-kanak perempuan sembilan tahun lemas di Jeti Mat Shah, Pulau Banding, Gerik, semalam.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmood pada kenyataan berkata, anggota Balai Polis Bersia bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berkaitan insiden itu , jam 8.20 malam.

Beliau berkata, siasatan awal membabitkan pemeriksaan luaran badan mangsa serta di sekitar tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah.

Zulkifli berkata, menurut bapa mangsa yang berusia 40 tahun dan merupakan pekerja di Pulau Banding, pada jam 6 petang semalam, anaknya bermain air bersama rakan di tepi Pulau Banding di tempat letak bot jeti terbabit.

"Mangsa disedari hilang jam 6.30 petang dan dia berusaha mencari bersama rakan-rakannya.

"Kira-kira jam 6.50 petang, anaknya ditemui di tepi pulau, di belakang bot berhampiran Rumah Bot Mat Shah pada kedalaman kira-kira 1.82 meter sebelum Hospital Gerik dimaklumkan berkaitannya," katanya.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan lemas.

Mayat diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2024 @ 5:40 PM