BEBERAPA kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta Pelantar Hentian Royal Belum di Pulau Banding ditenggelami air. FOTO Ihsan pembaca
BEBERAPA kenderaan yang diparkir di tempat letak kereta Pelantar Hentian Royal Belum di Pulau Banding ditenggelami air. FOTO Ihsan pembaca
Mohd Rashidi Yusuf.

Gerik: Paras air di Tasik Temenggor naik sedikit hari ini berbanding semalam, menyebabkan tempat letak kereta Pelantar Hentian Royal Belum di sebelah Jambatan Pulau Banding terus dilimpahi air.

Ketua Pusat Perikanan Darat Banding, Tuan Mohd Hakimi Tuan Mood berkata, paras air dijangka terus naik sekiranya hujan berterusan dan keadaan cuaca ketika ini mendung.

"Semalam limpahan air itu menyebabkan kenderaan diparkir di kawasan berkenaan ditenggelami air hingga tayar tenggelam menyebabkan semuanya terpaksa diubah ke tempat selamat.

"Apapun, kedudukan paras air Tasik Temenggor dikawal pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), khususnya yang mengendalikan Empangan Temenggor dan Empangan Bersia.

"Saya diberitahu ada penduduk kampung berhampiran dengar bunyi siren Empangan Bersia bagi memaklumkan pihak empangan akan membuat pelepasan air," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tuan Mohd Hakimi berkata, kedudukan kawasan tempat letak kereta di sebelah Pelantar Royal Belum itu lebih rendah berbanding kawasan daratan di Pusat Perikanan Darat Banding yang tidak terjejas.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, keadaan limpahan air di tasik berkenaan tidak membimbangkan, namun semua pihak di kawasan itu dinasihatkan supaya berjaga-jaga.

Beliau berkata, peningkatan paras air di Tasik Temenggor itu disebabkan hujan berterusan sejak beberapa hari di kawasan Banjaran Titiwangsa dan air turun ke kawasan berkenaan.

"Limpahannya hingga ke parkir kenderaan Pelantar Hentian Royal Belum, tetapi keadaan tidaklah membimbangkan," katanya ketika mengulas mengenai limpahan air Tasik Temenggor hingga menyebabkan beberapa kereta di kawasan terbabit ditenggelami air hingga tayar tenggelam.

Zulkifli berkata, pemilik kenderaan ketika itu berada di rumah bot dan kereta terbabit tidak rosak serta semuanya sempat diubah ke tempat selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 3:12 PM