Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, memeriksa Perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Bulan Januari 2024 di Perkarangan Padang Kawad, IPK Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, memeriksa Perbarisan pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak Bulan Januari 2024 di Perkarangan Padang Kawad, IPK Sarawak, Jalan Badruddin, Kuching, Sarawak. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi

Kuching: Siasatan terperinci dilakukan bagi merungkai kes tembakan rambang yang mencederakan tiga lelaki di Sibu pada 1 Januari lalu.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, ia termasuk kemungkinan wujud persaingan antara kumpulan samseng.

Bagaimanapun katanya, hasil siasatan setakat ini tidak boleh dedahkan kerana dikhuatiri akan mengganggu siasatan polis.

"Kes masih dalam siasatan terperinci dan polis masih menjejaki suspek yang melepaskan tembakan itu," katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, hari ini.

Mancha berkata, orang ramai tidak perlu gusar dengan kejadian itu dan polis memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan negeri ini khususnya di Sibu adalah terkawal.

Dalam kejadian pada jam 4.55 petang, 1 Januari lalu, dua lelaki yang menyamar sebagai penghantar makanan melepaskan tembakan rambang di sebuah kedai kopi di Jalan Wong King Huo, Sibu yang mencederakan tiga lelaki berusia antara 27 hingga 33 tahun yang sedang minum bersama tiga rakan mereka.

Siasatan awal polis mendapati tiga mangsa yang cedera itu serta dua lagi rakan mereka yang selamat mempunyai rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.

Polis menemui 10 kelongsong peluru kaliber 9mm di lokasi kejadian dan siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Mengenai penemuan mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri di kawasan semak Kampung Selang Laut, Telaga Air, di sini pada jam 9.30 malam Selasa lalu, Mancha berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.

"Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa mendapati beberapa kesan gigitan dipercayai haiwan buas manakala tangan kanan mangsa terputus.

"Setakat ini, identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan polis masih menunggu keputusan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," katanya.

Selepas perhimpunan itu, Mancha turut menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas empat Ketua Polis Daerah (KPD) yang diadakan di Mes Pegawai Kanan IPK Sarawak.

Ia membabitkan KPD Sarikei iaitu Superintendan Awang Arfian Awang Bujang yang menyerahkan tugas kepada penggantinya kepada Deputi Superintendan (DSP) Benedict Faris Jimoy.

Awang Arfian dinaikkan pangkat Asisten Komisioner dan bertukar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai Timbalan Komander.

Turut menyerahkan tugas, KPD Kanowit, DSP Tega Bilong yang bertukar ke IPK Sarawak sebagai Pegawai Turus D4 kepada penggantinya DSP Dennis Bunyam.

KPD Lawas, DSP Sila Kadong yang bertukar ke Limbang pula menyerahkan tugas kepada DSP Liong Tindan.

Sementara itu, KPD Simunjan, DSP Wong Tee Kue yang bertukar ke IPK Sarawak sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik pula menyerahkan tugas kepada DSP Rafhan Kepli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 1:04 PM