GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Tiga lelaki ditahan polis kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk di Jalan Pndan Utama di sini, semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 41 hingga 69 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, semua individu yang ditahan itu didapati memandu dengan tahap alkohol melebihi paras yang dibenarkan.

"Penahanan bersama kenderaan yang terbabit kemudiannya dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987.

"Ujian nafas dengan menggunakan alat 'evidential breath analyzer II' (EBA II) terhadap ketiga-tiga individu berkenaan dan mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah mereka melebihi had yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, sebanyak 55 kenderaan dan 70 individu diperiksa dalam operasi yang dijalankan bermula 10 malam sehingga 12 tengah malam itu.

"Sebanyak 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan kesalahan lain.

"Orang awam diingatkan supaya tidak memandu semasa berada di bawah pengaruh alkohol kerana perbuatan itu boleh membahayakan pada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 1:59 PM