POKOK kelapa yang dikebun Mohd Fauzi Sulaiman, yang dimusnahkan gajah liar. FOTO ihsan Mohd Fauzi
POKOK kelapa yang dikebun Mohd Fauzi Sulaiman, yang dimusnahkan gajah liar. FOTO ihsan Mohd Fauzi
Nazdy Harun


Kuala Berang: Sekumpulan gajah liar 'menakluk' kebun penduduk di sini, apabila penduduk tidak boleh melihat tanaman mereka berikutan jambatan yang merentasi sungai ditenggelami disebabkan banjir yang berlaku baru-baru ini.

Pekebun, Mohd Fauzi Sulaiman, 50, dari Kampung Padang Setar dekat sini, berkata, dia perlu melalui jalan bukit yang jauh dan berlumpur jika mahu ke kebunnya.

Menurutnya, kebiasaan penduduk akan ke kebun menggunakan jambatan yang menghubungkan kawasan kampung.

Katanya, akibat banjir gelombang ketiga, paras sungai menjadi dalam dan menenggelamkan jambatan di kampung terbabit dan menyukarkan penduduk untuk ke kebun setiap hari.

"Akibat tidak dapat ke kebun dengan kerap sekumpulan gajah liar kini seolah-olah sedang 'raya' dengan merosakkan hasil tanaman penduduk.

"Kalau jambatan boleh dilalui, ia memudahkan penduduk untuk berulang-alik lebih kerap untuk melihat kebun mereka.

"Namun, sekarang untuk ke kebun pun terlalu sukar dan perlu melalui jalan berbukit yang jauh serta berlumpur," katanya.

Menurutnya, dia sendiri mengalami kerugian apabila pokok kelapa yang ditanam dan sudah mengeluarkan hasil dirosakkan gajah liar di kawasan sebelah sungai yang sukar untuk diakses ketika ini.

Katanya, sebanyak 30 batang pokok kelapa yang ditanam musnah angkara gajah liar sedang berkampung di dalam kebunnya.

Seorang lagi pekebun, Alias Ismail, 65, dari Kampung Durian Bador di sini, berkata, kebunnya juga mengalami masalah sama dan sehingga kini tiada tindakan yang sewajarnya dilakukan.

"Menurutnya kebun buah-buahan miliknya sering menjadi sasaran gajah liar yang menceroboh untuk mendapatkan sumber makanan.

"Ditambah pula sekarang laluan iaitu jambatan untuk ke kebun ditenggelami berikutan paras sungai masih tinggal amat menyukarkan penduduk untuk memantau kawasan kebun," katanya.

Menurutnya, kalau jambatan boleh dilalui setidaknya pekebun boleh berulang-alik dengan lebih kerap untuk mengawasi kebun mereka namun buat masa sekarang ia sukar dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 January 2024 @ 1:32 PM