HAJIJI Noor
HAJIJI Noor
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, mengajak rakyat Sabah untuk mengetepikan perbezaan politik dan membuang sebarang perkara yang boleh menyebabkan perpecahan.

Menerusi perutusan sempena Tahun Baharu 2024, beliau berkata rakyat negeri ini perlu melangkah ke tahun baharu dengan azam untuk terus bersatu dalam kepelbagaian.

Katanya, tiada mana-mana kuasa yang mempunyai niat jahat boleh memecahbelahkan Sabah selagi rakyat negeri ini bersatu.

Di pihak kerajaan, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata, pihaknya kekal komited untuk melakukan yang terbaik mengikut mandat yang diberikan oleh rakyat.

"Sebagai Ketua Menteri, saya komited untuk melihat Sabah yang kita cintai kekal bersatu, makmur, dan inklusif. Kita akan kuat hanya apabila kita bersatu.

"Tiada kuasa dengan niat jahat boleh memecahkan kita sebagai rakyat Sabah. Dengan bersatu, kita akan dapat melawan sebarang percubaan untuk menjejaskan kestabilan dan memastikan pembangunan dapat diteruskan tanpa halangan," katanya, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beliau berasa terharu dan bersyukur kepada rakyat Sabah yang sehaluan menyokong dan memberi kepercayaan terhadap keikhlasan kerajaan pimpinannya melakukan yang terbaik untuk Sabah.

Katanya, dengan sokongan daripada rakyat, kerajaan negeri mengorak langkah yang baik dalam memajukan pelan pembangunannya iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

"Di ambang Tahun Baharu ini, sudah tiba masanya untuk merenung kembali tahun lalu dan menanti kedatangan tahun baharu dengan harapan dan keyakinan.

"Walaupun menghadapi pelbagai cabaran pada 2023, kita tetap teguh dalam melaksanakan agenda SMJ dan terus berada di landasan yang betul. Komitmen kita terhadap pertumbuhan ekonomi akan terus kekal dan tidak berbelah bahagi," katanya.

Hajiji berkata, Belanjawan Sabah 2024 berjumlah RM5.701 bilion yang diluluskan baru-baru ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan di Sabah.

"Kita mensasarkan banyak peluang yang boleh dimanfaatkan oleh negeri dalam semua sektor. Kita akan terus membina kejayaan dan mengejar peluang pelaburan baharu untuk mewujudkan 'spin-off' ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata semua kejayaan dan rancangan itu tidak bermakna tanpa gabungan usaha dan komitmen semua pihak serta persekitaran yang kondusif untuk mencapai matlamat pembangunan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 12:16 PM