Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kerajaan baharu pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi tumpuan kepada usaha memulihkan ekonomi negeri dan membendung penularan pandemik Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, beliau melihat penularan pandemik Covid-19 sebagai cabaran utama yang perlu dihadapi kerajaan pimpinannya.

Katanya, tumpuan perlu diberikan untuk menangani implikasi pandemik itu terutama dalam usaha memulihkan ekonomi negeri.

"Kita harap mereka yang diberi amanah supaya melaksanakan tugas dengan seberapa baik yang mungkin kerana kita mengambil alih kerajaan ini dalam suasana yang bukan biasa.

"Ekonomi terjejas akibat Covid-19 dan matlamat kita ialah untuk memulihkan ekonomi akibat pandemik itu. Saya yakin menteri yang dilantik akan menggalas tanggungjawab dengan baik.

"Saya yakin mereka ada pengalaman dan boleh melaksanakan tanggungjawab untuk membela nasib rakyat negeri ini," katanya pada sidang media pertamanya selepas melapor diri di Pejabat Ketua Menteri di Tingkat 32, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, menyifatkan pelantikan beliau sebagai Ketua Menteri adalah penyempurnaan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan baharu.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada sekalian rakyat yang menunaikan hak dan tanggungjawab dalam proses demokrasi sekali gus membolehkan penubuhan kerajaan baharu secara tertib dengan kewujudan mandat yang jelas," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu turut menyatakan penghargaan kepada semua ADUN yang memberikan sokongan untuk beliau memimpin kerajaan negeri, khususnya daripada PN, Barisan Nasional (PN), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Bebas.

"Sesungguhnya saya adalah Ketua Menteri kepada kerajaan negeri yang inklusif dan akan memberikan sepenuh khidmat kepada semua rakyat Sabah tanpa mengira perbezaan latar belakang dan pegangan politik.

"Amanah dan tanggungjawab ini amat besar dan mencabar. Saya memohon semua pihak termasuk sekalian rakyat untuk bersatu demi kepentingan tanah air.

"Hasrat saya untuk memimpin sekalian rakyat ke arah Sabah Maju Jaya. Cabaran utama di hadapan kita adalah untuk membendung penularan pandemik Covid-19 dan menangani implikasinya," katanya.

Hajiji turut mengajak semua rakyat negeri ini tanpa mengira bangsa untuk bersatu, berganding bahu dan bekerjasama, merealisasikan impian mewujudkan Sabah yang maju.

 Sidang media Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama dengan tiga Timbalan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. FOTO AZRUL AFFANDI SOBRY
Sidang media Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bersama dengan tiga Timbalan Ketua Menteri di Pejabat Ketua Menteri, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah. FOTO AZRUL AFFANDI SOBRY

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


    Lagi berita berkaitan PRN Sabah

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 4:09 PM