SHAIFULIZAN di samping isterinya, dipuji warga net kerana awet muda meskipun berusia 50-an. FOTO Ihsan Nur Fazlin Shaifulizan.
SHAIFULIZAN di samping isterinya, dipuji warga net kerana awet muda meskipun berusia 50-an. FOTO Ihsan Nur Fazlin Shaifulizan.
Redzuan Muharam


Shah Alam: "Tak ada pantang larang, petua atau rahsia awet muda. Cukup jadi happy-go-lucky dan jangan tertekan."

Itu jawapan Shaifulizan Ariffin dari Setia Alam setiap kali ditanya mengenai rahsianya kekal muda dan mendapat pujian di TikTok kerana ketampanannya walau sudah berusia setengah abad.

Bapa empat anak itu juga sudah mempunyai menantu dan menjadi datuk kepada seorang cucu.

Berkongsi kisahnya, Shaifulizan berkata, video di TikTok itu dimuat baik anak ketiga, Nur Fazlin, 21, malah dia tidak menyangka ia menarik perhatian hingga meraih lebih 656,000 tontonan.

"Waktu itu, kami di kedai makan dan anak rakam video saya bersama isteri dengan lagu yang trending. Katanya untuk suka-suka saja.

"Sebab itu saya tak sangka ia boleh dapat perhatian ramai sebegitu sekali. Ada kata nampak muda, tapi saya tak ada rahsia apa pun, cuma sentiasa gembira dan suka bergurau dengan anak.

"Isteri yang banyak bantu kawal dan jaga makan sebenarnya kerana saya ada diabetes," katanya ketika dihubungi.

Menurut Shaifulizan, setakat ini netizen meninggalkan komen yang positif bagi video itu dan tiada komen nakal atau mesej 'mengayat'.

"Lagipun, anak pun sudah besar dan saya hanya fikir jalankan tanggungjawab terhadap keluarga.

"Apa pun, terima kasih kepada mereka yang komen dan mendoakan, saya menghargainya. Moga yang baik juga berbalik kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2023 @ 6:35 PM