KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP.
Noor Hidayah Tanzizi


Sungai Buloh: "Saya fikir itu cara terbaik bagi KJ (Khairy Jamaluddin) menentukan masa depan dia (dalam politik)," kata Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Adly Zahari.

Adly memberi reaksi itu berhubung laporan media mengenai Khairy Jamaluddin bertemu pemimpin utama Kerajaan Perpaduan dan Perikatan Nasional, baru-baru ini.

Menurut Adly, justeru ia terpulang kepada bekas Menteri Kesihatan berkenaan memilih hala tuju dan masa depan dalam karier politiknya.

Bagaimanapun, beliau berpandangan Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah yang terbaik kerana lebih terbuka dengan mengambil kira semua pandangan.

"Saya fikir terpulang kepada KJ (dan) itu cara yang baik bagi KJ sendiri mahu tentukan masa depannya. Bagi saya Kerajaan Perpaduan adalah amat baik kerana mengambil kira semua pandangan dan semangat perpaduan sejak awal," katanya.

Justeru kata, pihaknya juga mengalu-alukan sekiranya Khairy memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan.

"Sebab itu pandangan dan apa saja yang memberi kebaikan kepada negara dan mana bakat (yang memberi kebaikan) kita hargai," katanya.

Kelmarin, media melaporkan mengenai masa depan politik Khairy selepas beliau hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Anwar.

Kehadiran Khairy dalam perbincangan bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi, termasuk Naib Presiden Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menimbulkan persoalan sama ada beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan, selepas dipecat daripada Umno pada 27 Januari lalu.

Semalam, bekas Ketua Pemuda Umno itu menyiarkan gambarnya bersama Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kedua-dua kelihatan tersenyum di ruangan laman sosial, InstaStory, namun tidak disertakan sebarang keterangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 2:15 PM