JENTERA pilihan raya memasang bendera parti ketika kempen menjelang PRN Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
JENTERA pilihan raya memasang bendera parti ketika kempen menjelang PRN Melaka. FOTO ASYRAF HAMZAH
Mohd Nasaruddin Parzi


Melaka: Barisan Nasional (BN) dan Umno diminta membuktikan 'cakap serupa bikin' jika diberi peluang menerajui semula kerajaan negeri kelak dengan menolak 'katak politik' yang mengambil sikap cuba berpaling tadah untuk menjadi sebahagian wakil kerajaan.

Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata, BN perlu tegas dengan pendirian itu memandangkan tindakan wakil rakyat lompat parti amat dikeji dan dibenci anak muda.

"Saya mahu mengatakan kalau BN bentuk kerajaan, kita mahu (bentuk) kerajaan dengan wakil rakyat kita sendiri. Kalau ada sebarang kerjasama dengan parti lain, itu ok.

"Kita anti katak politik dan jangan lagi selepas ini kita mengalu-alukan mereka kerana bagi saya BN dan Umno serta saya juga sebagai orang muda, kita kena cakap serupa bikin.

"Kalau boleh kita tolak katak politik dan jangan mengalu-alukan mereka untuk tiba-tiba mahu membentuk kuasa bersama. Kalau kita terima mereka, susah untuk menjawab di bawah nanti (akar umbi)," katanya ketika menjadi panel pada program bual bicara disiarkan Umno Online, malam tadi.

Pada Mac tahun lalu, BN dan Perikatan Nasional (PN) mengambil alih semula kerajaan Melaka daripada Pakatan Harapan (PH) selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia daripada PKR, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Adun Pengkalan Batu daripada DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee keluar parti dan menyertai kerajaan baharu.

Namun, pada awal Oktober lalu, sekali lagi kerajaan Melaka jatuh apabila empat Adun termasuk Norhizam, bekas Adun Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad, bekas Ketua Menteri Melaka yang juga Adun Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron dan bekas Adun Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan menarik sokongan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Shahril berkata, di pihak BN dan Umno, semua calon yang bertanding pada PRN kali ini sudah menandatangani aku janji dan berharap mereka patuh kepada ketetapan dibuat parti.

"Saya rasa bagi peringkat BN, kita sudah 'clear', integriti 'check' sudah ada," katanya.

Semua 28 calon dipilih mewakili BN pada PRN Melaka sudah menandatangani akuan bersumpah (SD) sebagai bukti mereka kekal setia kepada parti sekiranya memenangi PRN kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 11:22 AM