Fahmy A Rosli


Kuala Lumpur: Palestin mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang kerap kali menggunakan veto bagi menghalang sebarang resolusi berkaitan negara itu, menyaksikan tindakan itu menyebabkan penduduknya terus menjadi mangsa kerakusan serangan rejim Zionis.

Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali, mempersoal kewujudan sistem yang didakwanya dwistandard dan gagal berfungsi seadil mungkin khususnya dalam isu pencerobohan negara yang sudah lama berlarutan tanpa sebarang penyelesaian tuntas.

Beliau menegaskan peranan semua pihak amat ditagih untuk bukan saja menyokong gencatan senjata sementara, sebaliknya Palestin menuntut sokongan utuh seperti gencatan senjata berkekalan, sambil menambah ia perlu dicapai serta merta bagi melindungi penduduk negara itu terutama di Gaza dari serangan Israel.

"Israel kebal dan dilindungi oleh veto AS. Jadi mereka cuba untuk mendapat laba daripada veto negara berkenaan. Sebab apa saja resolusi yang dikemukakan melalui sebarang forum dan bantahan serta-merta dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), AS memilih untuk menggunakan veto.

"Itu sebabnya Israel memperoleh sokongan besar daripada pentadbiran AS untuk terus melanggar undang-undang antarabangsa. AS sudah banyak kali menggunakan veto terhadap Palestin. Komuniti antarabangsa menjadi saksi.

"Sejak awal lagi, mereka hanya membisu bila berkaitan Israel. Kami terus menjadi mangsa layanan dwistandard sebab kami tidak pernah dilayan seadilnya dan sama rata.

"Itu punca kami selalu menderita. Itu juga punca kami rakyat Palestin percaya komuniti antarabangsa hanya melihat melalui sebelah mata. Mereka tidak pernah melihat melalui kedua belah mata untuk berlaku adil," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima sumbangan daripada Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB) di Kedutaan Palestin di sini, hari ini.

Berhubung situasi semasa di Gaza, Walid berkata setakat hari ini seramai 20,674 penduduk Palestin maut, manakala 54,536 lagi cedera.

Mengikut pecahan mangsa terkorban, katanya daripada jumlah itu seramai 8,000 adalah kanak-kanak, 6,200 wanita, 695 warga tua, 310 petugas kesihatan dan 97 wartawan.

Yang terbunuh termasuk 36 anggota pertahanan awam dan 135 staf Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).

Tambahnya, fasiliti kesihatan dan pendidikan termasuk kediaman serta masjid turut tidak terkecuali menjadi sasaran bedilan serangan Israel.

"Turut musnah 26 hospital, 110 klinik, 102 ambulans, 112 masjid, 305,000 kediaman, 352 fasiliti pendidikan dan 42 sekolah UNRWA," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2023 @ 3:51 PM
WALID, gambar fail. FOTO Aswadi Alias
WALID, gambar fail. FOTO Aswadi Alias