KEADAAN kawasan penempatan Palestin di daerah Shejaiya, Gaza. - Agensi
KEADAAN kawasan penempatan Palestin di daerah Shejaiya, Gaza. - Agensi
Reuters

Baitulmaqdis: Israel menguatkuasakan undang-undang mendenda pihak berkuasa Palestin (PA) kerana membayar gaji kepada penduduk yang dipenjarakan tenteranya, keluarga mereka serta keluarga yang dibunuh rejim Zionis itu.

Parlimen 120 kerusi mengundi dengan 87 menyokong dan 15 menentang undang-undang penahanan sebahagian hasil cukai kasar AS$130 juta (RM526.37 juta) yang dikutip Israel bagi pihak Palestin setiap bulan mengikut perjanjian damai sementara.

PA yang disokong Barat diketuai Presiden Mahmoud Abbas mempunyai kuasa terhad di wilayah diduduki Tebing Barat dengan Israel berkuasa penuh terhadap keselamatan.

Hamas mentadbir Semenanjung Gaza.

Rakyat Palestin menuntut sebuah negara di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Awal tahun ini, Amerika Syarikat menguatkuasakan undang-undang mengurangkan secara drastik dana bantuan tahunan AS$300 juta (RM1.2 bilion) kepada PA kecuali ia menghentikan pembayaran gaji berkenaan.

Selepas undian itu, Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman menulis di Twitter: “Kami menunaikan janji menghentikan gaji percuma pejuang. Setiap shekel yang Abu Mazen (Abbas) bayar kepada pengganas dan pembunuh, secara automatik akan ditolak daripada bajet PA.”

Sementara itu di New York, tujuh bekas duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Setiausaha Negara Mike Pompeo mengembalikan semula dana membantu pelarian Palestin.

Amerika, penyumbang terbesar kepada Agensi Kerja dan Bantuan PBB (UNRWA), hanya memberi AS$60 juta (RM242.58 juta) daripada AS$365 juta (RM1.48 bilion) yang dijanjikan tahun ini.

Presiden Donald Trump yang menahan bantuan itu berkata, bantuan berkenaan hanya akan diberi jika Palestin bersetuju memperbaharui rundingan damai dengan Israel.

“Jurang kewangan itu menimbulkan persoalan keupayaan UNRWA memberi perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kesihatan kepada jutaan penduduk selain mencetuskan kesan keselamatan kepada sekutu rapat kami, termasuk Israel dan Jordan.

“Kami menggesa anda mengembalikan pembiayaan AS bagi mengisi jurang ini,” tulis bekas duta Amerika ke PBB dalam surat bertarikh 2 Julai.

UNRWA diasaskan pada 1949 untuk membantu pelarian Palestin. Ia menampung lima juta pelarian Palestin di wilayah diduduki Israel di Tebing Barat, Gaza, Syria, Lubnan dan Jordan selain mengurus 700 sekolah, lebih 140 klinik kesihatan dan memberi makanan kepada ratusan ribu orang. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Julai 2018 @ 11:15 AM