ANNA CAMP
ANNA CAMP
Agensi

BINTANG filem Pitch Perfect, Anna Camp menggesa orang ramai untuk memakai pelitup muka selepas dia melalui detik sukar ketika disahkan penyakit Covid-19 awal tahun ini. 

Menerusi sebuah entri di Instagram, Camp berkongsi gejala awal dijangkiti virus itu selepas tidak memakai pelitup muka hanya sekali sebaik perniagaan dan tempat awam kembali dibuka.

"Saya yakin diri saya selamat. Saya memakai pelitup muka dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

"Tapi satu hari ketika semua aktiviti kembali dibuka, saya memutuskan untuk tidak memakai pelitup muka di tempat umum dan akhirnya saya disahkan penyakit itu," katanya.

Menurut Camp, dia mengakui seksa sepanjang menjalani rawatan sehingga keadaan kesihatannya menjadi lemah dan hilang deria rasa dan bau.

"Saya hanya mengalami selesema dan virus ini sama sekali bukan menyerang itu sahaja. Virus ini belum ada ubat yang boleh diubati dan sangat baru sehingga tidak ada yang tahu kerosakan jangka panjang terhadap imuniti badan  hingga boleh memberi tekanan 

" Kehilangan deria rasa dan bau tanpa mengetahui bilakah sakit ini akan surut amat membimbangkan saya," katanya.

Tambah Camp, meskipun ujian yang dilakukan selepas menjalani rawatan mendapati dirinya negatif, dia bagaimanapun masih mengalami beberapa gejala lain.

"Saya masih rasa tak sedap badan, keletihan yang melampau, sakit perut, mual, muntah dan demam.

"Justeru saya menggesa anda semua untuk memakai pelitup muka. Harap anda semua selamat di luar sana. Mari kita semua melakukan tugas kita iaitu memakai pelitup muka," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 11:31 AM