DELIMA (kanan) bersama datuknya, Salleh bersama keluarga mereka pada 1 Syawal
DELIMA (kanan) bersama datuknya, Salleh bersama keluarga mereka pada 1 Syawal
Oleh Noor Hidayah Tanzizi


Putrajaya: Pemberian duit raya berdasarkan penurunan berat badan yang paling banyak menjadi 'bonus' buat keluarga ini, sekali gus memeriahkan suasana Aidilfitri mereka tahun ini.

Terdahulu penuntut sebuah institusi pengajian tinggi dikenali sebagai Afrina Nur Diana, 21, atau Delima berkongsi acara pemberian duit raya unik itu pada pagi 1 Syawal lalu di TikTok meraih 1.8 juta tontonan dan reaksi positif netizen.

Afrina Nur Diana berkata, idea berkenaan dicetuskan oleh datuknya yang juga pesara Polis Diraja Malaysia (PDRM), Salleh Attan, 74, bermula tahun lalu dan menetapkan RM25 untuk sekilogram (kg) penurunan berat badan.

"Atuk ada rekod berat badan kami daripada Aidilfitri tahun lalu dan tahun ini kami timbang lagi untuk tengok berat badan siapa yang turun paling banyak. Kami diberi masa setahun untuk menurunkan berat badan dan adil untuk semua pihak.

"Tahun ini paling banyak merekodkan penurunan berat badan 12 kg dan jadi hasilnya dia boleh menerima RM300," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, semua menerima duit raya cuma duit turun badan adalah sekadar bonus daripada datuknya untuk memeriahkan suasana Aidilfitri keluarga mereka.

"Ini kali pertama kami buat acara 'bonus' seperti ini dan insya-Allah diteruskan atau setiap tahun kita tukar cara namun ia masih dalam perbincangan.

"Aktiviti baru ini bukan saja menceriakan suasana Aidilfitri kami, malah ia juga mengeratkan hubungan keluarga namun ada juga yang malu-malu mahu timbang berat badan.

"Tetapi ini hanya sekadar mesra-mesra keluarga saja dan terpulang kepada masing-masing mahu sertai atau tidak (pemberian duit raya untuk penurunan berat badan) dan tiada paksaan (daripada atuk)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 7:50 AM