Nur Hasifah (dua dari kanan) dikunjungi rombongan Perkeso Kelantan diwakili Nora (tengah) yang menyerahkan pencen Penakat sebanyak RM546.98 sebulan untuk sepanjang hidup serta bakul makanan di kediamannya di Kampung Tapang. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Nur Hasifah (dua dari kanan) dikunjungi rombongan Perkeso Kelantan diwakili Nora (tengah) yang menyerahkan pencen Penakat sebanyak RM546.98 sebulan untuk sepanjang hidup serta bakul makanan di kediamannya di Kampung Tapang. FOTO SITI ROHANA IDRIS
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: "Sehingga kini saya masih trauma dan kerap terjaga jam 4 pagi iaitu waktu tragedi yang mengorbankan bayi perempuan kami dalam kemalangan pada hujung bulan lalu," kata Nur Hasifah Razni, 25.

Dalam kejadian pagi 27 November lalu, Wan Sabeena Arisha yang berusia tujuh bulan maut selepas kenderaan yang dinaiki bersama kedua ibu bapanya melanggar tiang lampu sebelum terbakar di hadapan sebuah bank di Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat sini.

Tambah menyedihkan, bapanya, Wan Sharizat Azwan Wan Shahril Anwar, 28, turut menghembuskan nafas terakhir selepas lapan hari bertarung nyawa dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini akibat melecur dan kecederaan parah pada organ dalaman.

Nur Hasifah, 25, berkata, dia kini trauma jika menaiki kereta dalam tempoh lama dan berasa takut sekiranya kenderaan terlanggar lubang kerana terbayangkan kemalangan yang dialaminya.

"Pada awal selepas kejadian, memang saya tertekan dan masih terbayang-bayang keletah bayi perempuan kami yang baharu saja boleh meniarap ketika itu.

"Tidur saya juga sering terganggu dan kerap terjaga jam 4 pagi iaitu waktu yang sama kemalangan berlaku tiga minggu lalu yang menyebabkan saya menangis," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tapang, di sini, hari ini.

Nur Hasifah berkata, masih kedengaran kata-kata suaminya yang meminta maaf berkali-kali selepas gagal menyelamatkan bayi mereka yang turut rentung dalam kemalangan itu.

Dalam keadaan suaminya yang turut parah dan melecur seluruh tubuh ketika memasuki ambulans, Nur Hasifah berkata, suaminya juga menafikan dia mengantuk sebaliknya keadaan jalan yang gelap tanpa sebarang papan tanda menyebabkan kenderaan mereka terlanggar pembahagi jalan sebelum terbabas.

Menurutnya lagi, ketika menerima rawatan di HRPZ II, suaminya terus ditidurkan dan dia tidak berhenti berdoa supaya ada keajaiban meskipun tiada perkembangan positif malah sehari demi sehari, keadaan suaminya semakin kritikal.

"Akhirnya pagi 5 Disember lalu suami menghembuskan nafas terakhir dan saya reda kerana melihatkan keadaannya.

"Sebulan sebelum kejadian, suami ada bertanyakan kepada saya bagaimana jika suatu hari nanti dia sudah tiada dan tidak sempat membesarkan anak kami, menyebabkan saya memarahinya.

"Rupanya kata-katanya itu menjadi kenyataan malah saya bukan sahaja kehilangannya tapi satu-satunya tanda cinta kami iaitu bayi perempuan kami," katanya sambil memberitahu suaminya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gayong manakala Wan Sabeena Arisha pula di Kampung Tapang.

Terdahulu Nur Hasifah dikunjungi Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan, Nora Yaacob yang menyerahkan pencen Penakat sebanyak RM546.98 sebulan untuk sepanjang hidup.

Nora berkata, Nur Hasifah layak menerima pencen itu kerana arwah suaminya yang bekerja di sebuah premis perkakas plastik adalah pencarum Perkeso yang memenuhi kelayakan caruman.

"Balu ini juga sudah menerima bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berjumlah RM2,000 yang sudah pun dikreditkan ke akaunnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2023 @ 12:37 PM