FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Essa Abu Yamin


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan tiada larangan ke atas pemegang sijil halal untuk menulis ucapan perayaan pada kek yang dibawa pulang oleh pelanggan.

Jakim dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menegaskan tiada halangan bagi premis pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) untuk menulis sebarang bentuk tulisan berkaitan ucapan perayaan pada kek atau seumpamanya.

"Justeru, buat semua pemegang SPHM, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada Jakim atau Jabatan Agama Islam negeri atau Majlis Agama Islam negeri terlebih dahulu jika terdapat sebarang kekeliruan berkaitan pensijilan halal Malaysia," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial berkenaan isu larangan ucapan 'Merry Christmas' pada kek susulan memorandum daripada syarikat Berry's bertarikh 14 Disember 2023 bertajuk 'Not Allowed To Write The Word of Merry Christmas or X'Mas On Cakes'.

Kenyataan berkenaan memaklumkan, isu berkenaan adalah isu yang berbangkit dan sebelum itu ianya pernah dijawab oleh Jakim pada 25 Disember 2020 dan 1 November 2023.

Sementara itu, kedai kek terbabit dalam pekeliling bertarikh 14 Disember 2023 dan ditandatangani oleh pengurus operasi kedai roti itu mendakwa larangan berkenaan adalah untuk mematuhi dan memenuhi keperluan pensijilan halal oleh Jakim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Disember 2023 @ 10:51 AM