JAKIM menjawab persoalan mengenai status premis berkenaan.
JAKIM menjawab persoalan mengenai status premis berkenaan.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Premis nasi ayam claypot di Sri Petaling, di sini, yang tular di media sosial berkenaan status halalnya, disahkan bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), berdasarkan kepada semakan menerusi Portal Halal Malaysia.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan di Facebook, semalam, mengesahkan pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis terbabit.

Jakim berkata, ketika ini, tular di media sosial berkenaan berhubung status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang dikatakan menggunakan rice wine atau wain beras dalam masakan, yang menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna Muslim yang mengunjungi premis berkenaan.

"Berdasarkan semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis itu bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan.

"Sehubungan itu, pengguna Muslim dinasihatkan sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi. Pastikan premis dipilih adalah pemegang SPHM yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia," katanya.

Katanya, untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM, orang ramai boleh melayari Portal Rasmi Halal Malaysia di https://www.halal.gov.my/v4/ dan semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar, Verify Halal.

Terdahulu premis yang diusahakan suami isteri Muslim tular di media sosial dan dikunjungi orang ramai, namun pendedahan beberapa individu mengenai bahan didakwa tidak halal digunakan pasangan itu meragukan masyarakat.

Difahamkan, premis berkenaan ketika ini sudah ditutup sementara susulan penularan isu berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 10:16 AM