Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Klang: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu hari ini menyifatkan kekuatan parti yang diterajuinya terletak kepada gabungan yang disertai.

Beliau yang dilantik bagi menerajui parti itu untuk kali ketiga berkata, disebabkan itu pimpinan selepasnya perlu mencari jalan untuk menguatkan gabungan yang disertai pada masa ini.

"Amanah ini kekuatannya bergantung kepada gabungan. Gabungan ini penting. Hubungan kita dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), hubungan kita dengan DAP, dan sekarang hubungan kita dengan BN serta parti dari Sabah Sarawak.

"Oleh itu pimpinan yang akan mewarisi sehingga pilihan raya akan datang mesti mencari jalan kuatkan gabungan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas pengumuman pelantikan Presiden, Timbalan dan Naib Presiden yang baharu pada Konvensyen Amanah Nasional 2023 di sini, hari ini.

Mohamad atau dikenali sebagai Mat Sabu terdahulu dipilih semula sebagai Presiden Amanah bagi penggal 2023-2026 dalam konvensyen yang diadakan hari ini.

Ia sekali gus menjadi penggal terakhir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu bagi mengemudi parti yang mempunyai lebih 200,000 ahli itu.

Mengulas lanjut, Mohamad turut mengingatkan pemimpin yang akan menerajui parti itu selepas ini mengenai gabungan, dengan menyatakan sebarang keretakan bakal membawa padah kepada Amanah.

"Sebarang keretakan ini, yang akan membawa padah ialah kepada Amanah itu sendiri.

"Disebabkan itu politik gabungan ini mesti diperkuatkan dan kita tahu pilihan raya empat tahun lagi bukan lama.

"Kita kena buat persediaan kerana waktu itu sudah tentu mengikut perlembagaan kita presiden parti adalah orang lain bukan Bang Mat lagi," katanya.

MOHAMAD (tengah), dan Mujahid bergambar bersama Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (2023 - 2026) selepas pemilihan parti sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2023, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
MOHAMAD (tengah), dan Mujahid bergambar bersama Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (2023 - 2026) selepas pemilihan parti sempena Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara 2023, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2023 @ 8:28 PM