ZAMBRY. FOTO Arkib BERNAMA
ZAMBRY. FOTO Arkib BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menarik diri daripada bertanding jawatan Naib Presiden bagi Pemilihan Umno yang akan berlangsung bulan depan.

Zambry dalam hantaran di Facebooknya malam tadi memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira tugas rasminya sebagai Menteri Luar Negeri dalam kerajaan.

"Banyak perkara dan urusan hal di luar negara yang perlu diuruskan demi memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Ia juga sekali gus membawa imej Umno yang saya wakili dalam Kerajaan Perpaduan," katanya.

Menurut Zambry beliau juga mahu memberi keutamaan dalam mengukuhkan hubungan antara parti dalam gabungan BN dan antara parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Bagaimanapun, Zambry berkata, beliau menawarkan diri untuk mempertahankan jawatan Ahli Majlis Tertinggi pada Pemilihan Umno Sesi 2023-2026 itu.

"Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada sahabat-sahabat di bahagian-bahagian yang telah menyatakan sokongan kepada saya sebelum ini," katanya.

Pada 24 Februari lalu, Zambry mengumumkan beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden dalam pemilihan parti itu.

Pemilihan Umno diadakan bermula 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini dengan Persidangan Tahunan Umno Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan Wanita, Pemuda dan Puteri Cawangan pada 1 hingga 26 Februari.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Pusat pula bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Umno Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi Umno pula diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2023 @ 10:55 AM