TIGA lelaki Palestin berjalan di sebalik sisa runtuhan bangunan yang musnah dibedil rejim Zionis di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
TIGA lelaki Palestin berjalan di sebalik sisa runtuhan bangunan yang musnah dibedil rejim Zionis di Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Tentera Israel sekali lagi berkelakuan biadab dan menyerlahkan kerendahan akhlak mereka apabila mencemar kesucian sebuah masjid di bandar Jenin, Tebing Barat, Palestin dengan membaca ritual kepercayaan dan menyanyi dalam bahasa ibunda mereka.

Rakaman video tular menunjukkan, beberapa tentera Israel memasuki masjid dengan berkasut manakala seorang daripada mereka dilihat duduk di minbar sebelum membacakan doa dipercayai dari kitab Yahudi dengan menggunakan mikrofon.

Rakyat Palestin, Yousef Al Helou berkata, tindakan tentera penjajah itu bukan hanya membaca doa, malah menyanyikan lagu Hannukah dalam bahasa Ibrani menggunakan pembesar suara sangat menghina kesucian masjid dan umat Islam.

"Masuk dengan kasut, berdoa dan nyanyi dalam bahasa Ibrani dan mengejek Palestin dengan pembesar suara.

"Kamu masih memanggil diri kamu tentera yang paling bermoral di dunia? Ini tak beretika langsung.

"Kamu mendedahkan diri kamu tentang kononnya perang ini menentang orang Islam dan bukan menentang rakyat Palestin di Gaza.

"Cuma tertanya-tanya macam ini memberikan imej kamu? Perang melawan keganasan?" katanya dalam perkongsian di Instagram malam tadi.

Katanya, kelakuan biadab tentera Israel itu semakin menjadikan seluruh dunia Islam dan Kristian menentang dan membenci mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, tindakan tentera Israel itu tidak boleh diterima dan sungguh melampau kerana satu penghinaan kepada Islam.

"Begini mereka hina kita.

"Masuk ke masjid kita dengan berkasut, memanjat minbar dan membaca ritual dari kitab Talmud mereka.

"Kita boleh buat apa? Kita perlu memperkasakan sumbangan, doa dan boikot kita kerana perjuangan kita masih belum berakhir," katanya di Instagram awal pagi tadi.

Sebelum ini, tentera Israel kerap menularkan rakaman kelakukan biadab mereka di Gaza antaranya menceroboh rumah, memakai pakaian dan memasak tinggalan makanan penduduk Gaza.

Mereka mengejek rakyat Gaza yang disekat bekalan air, makanan dan elektrik dengan melakonkan babak menunjukkan mereka mudah mendapatkan kemudahan itu termasuk meletak sejadah dalam tandas rumah penduduk.

Dalam rakaman video lain, sekumpulan tentera Israel bersorak meraikan lamaran rakan mereka terhadap teman wanitanya dalam pasukan dengan berlatar belakangkan kawasan sekolah Gaza yang dimusnahkan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2023 @ 7:01 AM