MOHAMED Haniff Khatri. FOTO arkib NSTP
MOHAMED Haniff Khatri. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar agar agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) bukan Parlimen seperti sekarang, wajar diambil serius dan diteliti.

Memberi pandangan sebagai rakyat dan pengamal undang-undang, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, selama ini rakyat kerap mencetuskan persoalan adakah pihak penguat kuasa undang-undang sama ada SPRM, Pejabat Peguam Negara mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai campur tangan oleh eksekutif iaitu pihak kerajaan.

Ini kerana, katanya, orang awam tahu pelantikan ketua-ketua agensi itu adalah daripada cadangan Ketua Eksekutif Kerajaan iaitu Perdana Menteri yang kemudiannya mereka dilantik Yang di-Pertuan Agong.

"Kita sentiasa berfikiran bahawa kerajaan akan mempunyai konflik kepentingan apabila tiba masanya, ada keadaan-keadaan tertentu kerajaan mungkin campur tangan secara salah dengan SPRM berkaitan siasatan atau pun pendakwaan.

"Jadi memang kita perlukan SPRM bebas daripada kacau ganggu salah oleh pihak yang mengendalikannya," katanya.

Namun, beliau berkata, pada masa sama bagaimana hendak menentukan apabila dipindah letak kepada Majlis Raja-Raja atau Agong, maka isu konflik kepentingan tidak akan muncul di situ pula.

Beliau berkata, memang menurut peruntukkan Perkara 34 Fasal Tiga menyatakan dengan jelas bahawa seseorang ke bawah Duli Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membabitkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.

"Bermaksud ada halangan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pembabitan Agong di dalam mana-mana unsur perniagaan.

"Namun peruntukkan yang sama tidak wujud di dalam semua Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing (sembilan negeri beraja ialah Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak layak ditabalkan YDPA).

"Jadi apabila tak wujud dan maka misal kata Raja serta Sultan terbabit dalam perniagaan, dan kalau syarikat itu disiasat oleh pihak penguat kuasa maka bukankah ada unsur-unsur konflik kepentingan kalau SPRM berada di bawah Raja?" katanya.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan satu Amanah Diraja ditubuhkan.

"Cadangan saya adalah kita kena ambil wang Perbendaharaan Negara wujudkan satu tabung Amanah Diraja yang mana segala keperluan Agong, Sultan dan Raja dibiayai melalui perbendaharaan ini.

"Termasuk perbelanjaan bulanan dan tahunan, cuti, pakaian, istana, pembaikan istana, alat perkakas istana, semua kita kena masukkan di bawah satu dana tabung Amanah Diraja yang mana bukan saja untuk Agong malah untuk Sultan dan Raja semua negeri," katanya.

"Saya cadangkan pembiayaan Amanah Diraja ini diambil sikit peratusan daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. Katalah KDNK RM300 bilion, dua peratus adalah RM6 bilion, tak cukup ke RM6 bilion setahun untuk Agong dan sembilan Raja-Raja dan Sultan? Lebih daripada cukup," katanya.

Katanya, jika Raja-Raja bersetuju dengan perkara itu maka peruntukkan untuk halang pembabitan semua Raja dan keluarga Raja secara langsung dan tidak langsung dalam perniagaan hendaklah dibuat pindaan pada Perlembagaan dengan lengkap dan Undang-Undang Tubuh Negeri dengan lengkap.

"Dengan cara itu maka bolehlah kita ubahkan bukan saja pengendalian SPRM, malah mungkin Pejabat Peguam Negara, pelantikan hakim, pelantikan Ketua Polis Negara terus ke bawah Agong dan Majlis Raja-Raja.

"Sebab tidak ada mungkin mereka mempunyai konflik kepentingan, tertakluk mereka kena setuju dengan pengharaman pembabitan dalam perniagaan," katanya.

Apa pun beliau berharap semua pihak terutamanya kerajaan, pembangkang dan Parlimen dapat membincangkan perkara itu dengan lebih halus dan menerima cadangan untuk kebaikan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Disember 2023 @ 2:28 PM